Keputusan kes Nik Elin perlihat ada kelompongan serius… : Hamzah

Keputusan itu juga didakwa akan menggugat enakmen jenayah syariah di negeri lain

4:46 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mendakwa keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini memperlihatkan terdapat kelompongan serius dalam bidang kuasa berkaitan Hak Menganut dan Mengamal (profess and practice) majoriti rakyat Malaysia.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kesan daripada keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 akan menggugat enakmen jenayah syariah di negeri lain.

Malah katanya, ia juga akan mendedahkan enakmen negeri-negeri tersebut kepada risiko pembatalan.

“Keputusan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, yang tidak berpihak kepada Badan Perundangan Negeri Kelantan menyentuh perasaan seluruh umat Islam. Tambahan pula apabila dalam Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Jika dilihat dari mata kasar, keputusan ini boleh mendatangkan impak besar dalam menghakis kuasa serta bidang kuasa Raja-Raja Melayu. Walhal, Raja-Raja Melayu termasuk Yang di-Pertuan Agong semasa mengangkat sumpah jawatan mengikut Perkara 37 (1) bersumpah untuk memelihara agama Islam setiap masa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dikemukakan Nik Elin dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Man, yang mengetuai panel sembilan panel, menyampaikan keputusan majoriti Hakim 8-1 hari ini, di mana mereka mengekalkan Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau orang Islam yang rosak akhlaknya).

Oleh itu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan bahawa 16 peruntukan termasuk Seksyen 14 (liwat), Seksyen 16 dan 17 (hubungan seksual dengan mayat dan bukan manusia) serta Seksyen 42 (penyalahgunaan label dan konotasi halal) adalah terbatal.

Terdahulu, Tengku Maimun berkata, dua peruntukan iaitu Seksyen 5 (tuntutan palsu) dan Seksyen 37 (perjudian) yang ditarik balik oleh kedua-dua mereka tahun lepas dianggap sah.

Sementara itu, Hamzah berkata, terdapat keperluan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memperkasakan undang-undang syariah terutamanya berkaitan Hak Menganut dan Mengamal (profess and practice) majoriti rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Kami menyeru kepada semua pihak berkepentingan untuk duduk semeja tanpa dibatasi sempadan politik bagi menjayakan hasrat ini.

“Sehubungan itu, saya selaku Ketua Pembangkang akan memohon menghadap untuk menyerahkan memorandum khas kepada Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dalam masa terdekat bagi menyembah maklum suara hati rakyat serta langkah penyesuaian kepada pemerkasaan yang perlu dilunaskan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia terdapat Wasiat Raja-Raja Melayu semasa pembentukan Persekutuan Tanah Melayu.

“Ia antara lain mewasiatkan “Kami Mengisytiharkan Islam Adalah Agama Rasmi Persekutuan” dan “Kami Mengamanahkan dan Kami Pertanggungjawabkan Kepada Raja-Raja Melayu Untuk Melindungi Kedudukan Istimewa Orang Melayu”,” katanya. – 9 Februari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related