PUTRAJAYA – Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai sejarah hitam buat umat Islam dan negara ini.
Beliau mendakwa keputusan itu juga akan mengundang bahaya bagi undang-undang syariah di negeri lain.
“Kita amat sedih hari ini. Ini ‘Black Friday’… Jumaat yang hitam kepada undang-undang syariah Islam, itu yang kita boleh gambarkan.
“Apabila satu undang-undang jenayah syariah sesuatu negeri dibatalkan, bermakna undang-undang ini di 14 negeri lain dalam keadaan yang amat bahaya dan kritikal.
“Mana-mana orang, katakanlah di Negeri Sembilan… di Melaka dituduh (atas) kesalahan contohnya liwat, dia akan bawa kes ini ke mahkamah ini dan beritahu kes di Kelantan kesalahan yang sama dibatalkan.
“Jadi tidak ada orang boleh dituduh di mahkamah syariah atas kesalahan itu. Kerana itu kami emosi, ini bukan perkara kecil, mempertahankan syariah bermakna (mempertahankan) institusi Raja-Raja Melayu,” katanya kepada media di pekarangan Istana Kehakiman di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang juga Ketua Armada Bersatu berkata, keputusan tersebut sudah dijangka tidak akan berpihak kepada kerajaan Kelantan.
“Seperti dijangka. Kalah 8-1. Sumpahan Perjanjian Pangkor terus mencengkam!” katanya.
Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.
Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.
Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.
Bagaimanapun panel memutuskan dua lagi peruntukan kesalahan adalah sah.
Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 8-1 di mana Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, membuat keputusan berbeza.
Kedua-dua pempetisyen memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit bertindak melangkaui bidang kuasanya.
Sementara itu, ditanya apa langkah seterusnya boleh diambil, Takiyuddin berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada kerajaan Kelantan.
“Ini kerana sekarang undang-undang yang terlibat ini, undang undang di peringkat kerajaan Kelantan.
“Saya difahamkan sudah ada satu jawatan kuasa khas untuk memikirkan kesan daripada keputusan ini dan sudah tentulah, undang undang syariah perlu ada di negeri. (Dan) Apabila dibatal, perlu ambil tindakan yang sewajarlah,” katanya.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, beliau juga menjangkakan ramai Ahli Parlimen akan mengemukakan soalan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan itu dalam sesi Dewan Rakyat yang akan datang.
“Saya difahamkan ramai ahli kita (Ahli Parlimen) mengemukakan soalan (bertulis) berkaitan dengan cabaran terhadap undang-undang syariah yang ada di negeri.
“… dan kita tahu bahawa di peringkat Persekutuan ini ada satu jawatankuasa dipanggil Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan Sultan Selangor.
“Jadi, kita juga akan bertanya di Parlimen apa hasil daripada jawatan uasa MKI ini. Apa yang dah dibuat untuk melindungi kedudukan undang undang syariah atau mungkin ada usaha untuk berjumpa Yang di-Pertuan Agong atau Pengerusi MKI sendiri,” katanya.
Pada masa sama, Pengerusi Bersama Gerakan Selamat Syariah, Mohd Zai Mustafa berkata, pihaknya akan menggerakan usaha untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong serta Sultan Selangor selaku Pengerusi MKI.
“Kami tidak akan berputus asa dan akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Kami juga berharap umat Islam di seluruh negara berdoa supaya Islam terus dilindungi kerana perkara ini melangkaui parti politik,” katanya. – 9 Februari, 2024