KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan di Putrajaya bersedia untuk mengumumkan keputusannya hari ini berhubung petisyen dikemukakan seorang peguam dan anaknya bagi mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Keputusan penting ini akan menentukan sama ada peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman adalah tepat untuk menegaskan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan syariah itu.
Nik Elin dan Tengku Yasmin tiba di Istana Kehakiman di Putrajaya kira-kira jam 7.40 pagi.
Pada jam 8 pagi ini, lebih 100 orang penyokong PAS mula berkumpul di sekitar mahkamah di sini bagi menanti keputusan itu.
Petisyen itu akan diputuskan panel yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.
Turut menganggotai panel sama, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.
Nik Elin dan anaknya selaku pempetisyen diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar manakala Kerajaan Negeri Kelantan dinamakan selaku responden tunggal, diwakili peguam Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif.

Selain itu Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), dan Badan Peguam Malaysia bertindak selaku pemerhati.
Sisters In Islam Forum (SIS) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pula bertindak selaku sahabat mahkamah (amicus curiae).
Dalam prosiding hujahan sebelum ini, Tengku Maimun mengingatkan semua pihak supaya menegakkan prinsip undang-undang dan tidak membuat sebarang kenyataan yang bersifat menghasut.
Katanya, isu dalam pendengaran petisyen berkenaan adalah bukan mengenai melemahkan agama Islam dan mahkamah syariah, tetapi ia adalah berhubung isu kompetensi kerajaan negeri dalam menggubal undang-undang.
Lebih 100 orang termasuk penyokong PAS berkumpul di luar Istana Kehakiman di sini kira-kira jam 8.47 pagi.
Mereka yang hadir dilihat membawa sepanduk tertera perkataan ‘Pertahankan Enakmen Syariah Kelantan.
Kira-kira jam 8.54 pagi, petugas parti membentangkan tikar di luar mahkamah sebagai persiapan untuk mengadakan solat hajat.
Penyokong Perikatan Nasional (PN) dilihat bersiap sedia untuk mengadakan solat hajat. Kehadiran mereka juga semakin bertambah kira-kira jam 9 pagi.
Pada jam 9.10 pagi, prosiding mahkamah bermula diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Tengku Maimun membacakan keputusan majoriti 8-1.
Peserta himpunan kemudian bermunajat bersama selepas dimaklumkan mengenai keputusan tidak rasmi itu.
Selepas keputusan dibacakan, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan tidak memihak kepada kerajaan Kelantan.
Takiyuddin berharap keputusan tersebut akan menjadi pengajaran kepada umat Islam dan kerajaan semasa mengenai kepentingan mempertahankan undang-undang Islam.
Peserta himpunan mula bersurai dan beredar meninggalkan perkarangan mahkamah pada jam 10.37 pagi.
Bagaimanapun tiada sebarang kekecohan atau provokasi dilaporkan. – 9 Februari, 2024