Sambutan membeli limau mandarin masih rendah menjelang Tahun Baharu Cina esok

Rata-rata peniaga limau mandarin di situ mengeluh kerana jumlah pelanggan berkurangan pada kali ini, berbanding tahun sebelumnya

12:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Limau mandarin adalah satu daripada ‘buah wajib’ yang akan dihidangkan di meja makan rumah atau dijadikan hadiah kepada rakan serta tetamu setiap kali menjelang Tahun Baru Cina.

Justeru, saban tahun, permintaan ke atas limau mandarin ketika sambutan perayaan itu cukup tinggi dalam kalangan masyarakat Cina, malah memberi pulangan keuntungan besar kepada peniaga.

Bagaimanapun, situasinya berbeza pada tahun ini apabila tinjauan Scoop di beberapa premis menjual limau mandarin di sekitar Petaling Jaya, termasuk di kawasan SS2 dan 1 Utama mendapati, jualan buah itu kurang mendapat sambutan.

Bercakap kepada Scoop, rata-rata peniaga limau mandarin di situ mengeluh kerana jumlah pelanggan berkurangan pada kali ini, berbanding tahun sebelumnya.

Peniaga limau mandarin, Tham Jian Hoe ketika ditemui Scoop dalam tinjauan orang ramai yang membeli barang keperluan bagi menyambut Tahun Baru Cina di Medan Pasar SS2 Petaling Jaya. – Gambar Alif Omar/Scoop, 8 Februari, 2024

Seorang peniaga buah di medan pasar SS2, Tham Jian Hoe, 23, berkata, walaupun dia menurunkan harga limau mandarin jualannya hingga 20 peratus, jumlah pelanggan masih tidak memuaskan.

“Saya sudah turunkan harga rendah macam ini pun masih tak ramai orang beli. Tahun Baharu Cina kali ini disambut Februari, cuaca bulan ini memang bagus, jadi saya dapat banyak limau berkualiti yang diimport dari China tapi tetap tidak terima sambutan tinggi daripada orang ramai,” katanya.

Dia berkata, harga asal sekotak limau berisi 40 biji adalah RM78, tetapi ia diturunkannya hingga RM65.

Manakala, seorang lagi perniaga yang ingin dikenali Toh, 42, berkata, walaupun dia terpaksa menaikkan harga limaunya akibat kos tinggi daripada pembekal, ia tidak membebankan dan sepatutnya gerainya tidak mengalami kekurangan pelanggan seteruk ini.

“Saya naikkan harga kurang daripada lima peratus sahaja. Saya sudah agak mungkin akan kekurangan pelanggan, tetapi tidak sangka seperti apa berlaku sekarang, ini sudah teruk sangat.

“Tahun lepas saya jual 40 biji sekotak pada harga RM65, orang beli sampai habis stok. Saya naikkan RM2.50 sahaja tahun ini untuk kuantiti buah limau mandarin yang sama, tapi tengoklah tak ramai pelanggan.

“Bukan kedai saya sahaja tak ada orang, kedai orang lain pun mengalami keadaan sama,” ujarnya.

Ditanya sekiranya peniaga mengetahui punca di sebalik penurunan mendadak jumlah pelanggan itu, Toh mendakwa ia disebabkan keadaan ekonomi yang merosot, bukan berpunca daripada harga limau mandarin di pasaran.

Sebahagian peniaga berpendapat penurunan mendadak jumlah pelanggan itu disebabkan keadaan ekonomi yang merosot, bukan berpunca daripada harga limau mandarin di pasaran. – Gambar Alif Omar/Scoop, 9 Februari, 2024

Sementara itu, beberapa pembeli yang ditemui di sekitar premis berkenaan mengakui kenaikan harga barangan di pasaran menyebabkan mereka yang meraikan Tahun Baru Cina terpaksa mengurangkan kos membeli limau mandarin.

Menurut seorang pembeli, Boon Tan, 52, dia juga membeli limau mandarin sedikit kurang berbanding tahun lalu.

“Tahun lepas saya beli untuk office mate (rakan pejabat), tapi tahun ini saya rasa tak mampu beli untuk semua orang,” katanya.

Seorang pembeli, Lilith, 38, turut memberi pandangan senada apabila mengatakan dia terpaksa menggunakan kaedah alternatif untuk berjimat dalam menyediakan keperluan Tahun Baharu Cina pada kadar lebih rendah.

“Untuk tahun ini saya membeli barangan seperti lampu, hiasa, biskut dan limau secara online (dalam talian) kerana ia lebih murah daripada beli di gerai,” katanya.

Limau mandarin menjadi lambang kekayaan dan keuntungan dalam kalangan masyarakat yang meraikan Tahun Baharu Cina.

Ini kerana perkataan ‘limau’ dalam bahasa Cina berkait rapat dengan perkataan ‘wang’ yang bermaksud kekayaan atau rezeki.

Disebabkan kepercayaan itu, tradisi menyusun limau mandarin untuk hiasan dan memberikannya sebagai hadiah, dianggap membawa keuntungan serta kesejahteraan kepada penerima.

Maka, amalan ini sangat diambil berat mereka yang meraikan Tahun Baharu Cina. – 9 Februari, 2024

Topics

Hangat

China’s rising 17-year-old badminton star, Zhang Zhijie, dead after collapsing on court

He was participating in the ongoing Asian Junior Badminton Championships in Indonesia

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Poor driver vetting will steer public away from inDrive, says assault victim’s lawyer

Victim has criticised the company’s lack of transparency and slow response, is prepared to take legal action

Related