Mirzan, Mokhzani Mahathir sedang susun maklumat pengisytiharan aset, ‘kami mohon SPRM sabar, faham’

Kedua-dua anak Dr Mahathir itu berkata, tugas mengumpul maklumat selama 43 tahun adalah satu usaha mustahil, justeru memerlukan penglibatan pelbagai pihak berkaitan

7:56 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Mirzan dan Mokhzani menegaskan, mereka sedang menyusun maklumat mengenai pengisytiharan aset seperti diminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menerusi kenyataan bersama dikeluarkan hari ini, mereka berkata, penyusunan itu memerlukan penglibatan pelbagai pihak berkaitan untuk membantu dan menasihati mengenai proses terbabit.

“Merujuk kepada kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada Selasa 6 Februari, di mana beliau mengumumkan bahawa kami masih belum menyerahkan pengisytiharan aset diminta, kami ingin menjelaskan bahawa SPRM memberi tempoh 30 hari untuk (kami) mematuhinya.

“SPRM meminta senarai aset sejak 1981, tahun bapa kami, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. Kami sedang menyusun maklumat yang ada dan melibatkan diri dengan pihak-pihak berkaitan untuk membantu dan menasihati kami mengenai proses terbabit,” katanya.

Kenyataan media itu dikeluarkan mereka sebagai respons kepada kenyataan Azam mengenai status pengisytiharan aset diarahkan agensi itu ke atas Mirzan dan Mokhzani.

Mirzan dan Mokhzani berkata, bagi mengelakkan sebarang kenyataan salah atau ‘prejudgement’, adalah wajar untuk semua mengeluarkan kata-kata tanpa kawalan ketika mengulas kes ini, lebih-lebih lagi apabila kami tidak dimaklumkan secara spesifik mengenai siasatan kes yang berkaitan dengan bapa kami.

“Tugas mengumpul maklumat selama 43 tahun adalah satu usaha yang mustahil dan kami memohon kesabaran serta persefahaman untuk kami memenuhi permintaan SPRM,” katanya.

Pada 18 Januari lalu, SPRM menerusi kenyataannya mengesahkan SPRM sudah menyerahkan satu perintah notis kepada Mirzan mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

Notis itu mengkehendaki Mirzan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya, sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis itu.

Katanya, perintah itu adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

SPRM berkata, siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Mokhzani pula dilaporkan disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan AMLATFPUAA 2001.

Bagaimanapun, kelmarin, Azam berkata, SPRM belum menerima notis pengisytiharan harta daripada dua ahli perniagaan itu dan masih menunggu mereka berbuat demikian.

Tegasnya, sekiranya tidak membuat pengisytiharan dalam tempoh ditetapkan, mereka boleh dituduh gagal mengisytiharkan harta. – 8 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related