KUALA LUMPUR — Operasi hari ketiga bagi menurunkan mayat seorang pendaki wanita yang meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas di puncak Gunung Reskit, dekat Gunung Tahan, Selasa lalu, akan disambung pagi ini selepas operasi yang dilancarkan dua hari lalu tidak berjaya akibat faktor cuaca.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan, operasi yang dijalankan pada hari pertama dengan menggunakan pesawat Mi-171 (BOMBA 04) dari Unit Udara JBPM menemui kegagalan akibat hujan lebat sementara kabus tebal pada hari kedua telah menghalang operasi terbabit.
Mangsa dilaporkan berada pada ketinggian 4,200 kaki. Menurut laporan media, mangsa dikenali sebagai Zahalita Othman dan telah mengikuti program pendakian gunung berkenaan bersama kumpulannya sejak 1 Februari lalu.
“Maklumat awal yang diperolehi adalah mangsa merupakan seorang wanita berusia 52 tahun dan beliau dilaporkan mengalami sesak nafas serta disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu ketika mengikuti aktiviti mendaki Gunung Tahan,’’ kata JBPM dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut JBPM, pada hari pertama operasi, pesawat tidak dapat menuju ke lokasi mangsa berikutan hujan lebat serta berkabus (awan rendah) di sekitar kawasan pergunungan.
Manakala, operasi pada hari kedua pada semalam pula telah bermula pada jam 9.17 pagi dengan pesawat diterbangkan dari Sekolah Clifford, Kuala Lipis bersama-sama 2 anggota Pasukan MOSAR, BBP Kuala Tahan menuju ke Gunung Tahan bagi melakukan pemantauan.
“Bagaimanapun pesawat terbabit tidak dapat menuju ke lokasi mangsa ekoran awan rendah berkabus yang menutupi kawasan puncak.
“Pemantauan selama 15 minit telah dilakukan sebelum kru pesawat mengambil keputusan untuk mendarat semula di Sekolah Clifford, Kuala Lipis,’’ katanya. – 8 Februari, 2024