KUALA LUMPUR – Cikgu Matematik yang juga personaliti media sosial popular, Mohd Fadli Mohamed Salleh mendedahkan keputusan bersara awal bukan dilakukan secara tergesa-gesa tetapi sudah dirancang sejak dua tahun lalu.
Menerusi sesi siaran langsung di Facebook miliknya malam tadi, Mohd Fadli berkata, keputusan itu dibuat kerana mendapati peluang untuk memberikan pandangan peribadi berkaitan isu pendidikan amat terhad.
Menurutnya, sebagai penjawat awam, beliau terikat dengan pelbagai akta yang menghalang seseorang itu menyatakan pendapat masing-masing tanpa mendapat keizinan terlebih dahulu daripada Kementerian Pendidikan (KPM) selaku majikannya.
“Keputusan untuk bersara (awal) bukan dibuat semalam atau bulan lalu, ia boleh dikatakan hampir dua tahun lepas lagi, terutama selepas kes saya hampir dibuang (kerja). Bila hampir dibuang dan berjaya diampunkan, saya dapat balik kerja macam biasa.
“(Ketika itu) Saya dah nampak penjawat awam ini banyak akta, saya banyak terikat… walaupun kita berkata benar, tidak mencaci atau memaki tapi Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 terpakai kepada semua penjawat awam,” katanya.
Walaupun tidak lagi bergelar seorang guru, Mohd Fadli berkata, beliau akan terus berbakti terhadap bidang pendidikan selepas ini.
Pada masa sama, beliau turut menggesa akta dan pekeliling kerajaan yang menyekat penjawat awam termasuk guru daripada menyuarakan pandangan, dimansuh dan dipinda.
“Saya harap akan ada perubahan terhadap akta ini supaya penjawat awam boleh membuat teguran. Kita bukan mahu memburukkan kerajaan, kita hanya nak menegur kesilapan dasar mereka.
“Kita ini ialah pelaksana (dasar) dan kita paling tahu di mana salahnya, tetapi suara orang paling tahu ini disekat. Akhirnya, (pelaksanaan dasar) menjadi semakin caca marba, teruk dan rosak.
“Jangan lagi ada budaya punitif, menguatkuasakan akta yang tidak sepatutnya dilaksanakan. Akta itu mungkin perlu dimansuh atau diubah suai, yang memberi keringanan kepada guru menyuarakan pandangan dan kelemahan secara berfakta, bukan untuk menghentam,” katanya.
Di bawah Perkara 19, Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, seseorang pegawai kerajaan tidak boleh, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain membuat apa-apa pernyataan awam berhubung apa-apa dasar, program atau keputusan kerajaan di atas apa-apa isu.
Sementara itu, Mohd Fadli turut menolak dakwaan tindakannya bersara awal kerana mahu menceburi bidang politik.
Sebaliknya, katanya, beliau sama sekali tidak berminat untuk terjun ke bidang tersebut biarpun pernah menerima tawaran untuk menyertai parti politik sebelum ini.
“Saya memang tak minat politik, sampai hari ini saya tak minat politik walaupun ada tawaran suruh join (sertai) parti, jadi calon semuanya.
“Saya tiada niat pun nak jadi Menteri Pendidikan atau wakil rakyat. Tidak mengapalah, cukuplah saya sebagai rakyat biasa yang ambil cakna mengenai isu pendidikan sahaja,” katanya.
Terdahulu, Mohd Fadli melalui Facebooknya mengumumkan bersara awal selepas berkhidmat selama 18 tahun sebagai guru dari 3 Januari 2006, dengan turut menyertakan gambar sambutan majlis persaraannya di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak.
Beliau dikenali sebagai pendidik kerajaan yang lantang bersuara sekiranya mendapati terdapat kepincangan silibus pendidikan negara.
Malah, beliau juga terkenal sebagai seorang aktivis masyarakat yang banyak menghulurkan bantuan kepada murid miskin dan rakyat dalam kesusahan.
Pada 2022, Mohd Fadli pernah dihadapkan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan susulan pendedahan mengenai kepincangan silibus pendidikan negara.
Bagaimanapun, beliau didapati tidak bersalah dan tidak dikenakan sebarang tindakan tatatertib oleh KPM.
Sebelum itu, beliau juga kerap menyuarakan kebimbangan mengenai berat beg sekolah yang terpaksa ditanggung murid, akibat kepadatan jadual pembelajaran. – 8 Februari, 2024