KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang guru besar, ketua pembantu tadbir dan dua orang pengurus syarikat atas dakwaan berkomplot membuat tuntutan palsu melibatkan kontrak pembekalan bernilai RM1.3 juta.
Sumber berkata, ia bagi pembekalan makan minum murid di asrama sebuah sekolah rendah di Terengganu.
Menurutnya, satu operasi yang dilaksanakan oleh SPRM Terengganu mendapati kesemua suspek berkomplot dalam mengemukakan tuntutan palsu bermula 2022 sehingga 2023 melibatkan tuntutan ke atas 100 orang murid sedangkan jumlah murid sebenar hanyalah 35 orang.
SPRM Terengganu dalam operasi yang sama turut menjalankan siasatan terhadap tuntutan palsu melibatkan kontrak pembersihan berjumlah RM35,000 di sekolah yang sama.
Katanya, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 30 hingga 50-an telah ditahan di Pejabat SPRM Negeri Terengganu ketika hadir memberi keterangan sekitar jam 11 pagi ini.
Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi mendapatkan permohonan reman.
Sementara itu Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta tidak menafikan tangkapan susulan berkaitan siasatan ini. – 5 Februari, 2024