Pengurangan hukuman Najib: Anwar nafi kerajaan ‘longgar’ tangani rasuah

Perdana Menteri berkata, proses badan kehakiman membabitkan isu rasuah masih diteruskan kerana pentadbirannya serius dalam memerangi rasuah dan ketirisan di negara ini

12:22 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan Kerajaan Perpaduan ‘longgar’ dan tidak tegas dalam menangani permasalahan rasuah, susulan keputusan Lembaga Pengampunan meringankan hukuman penjara dan denda bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang terbabit dalam salah laku itu.

Perdana Menteri berkata, proses badan kehakiman membabitkan isu rasuah masih diteruskan kerana pentadbirannya serius dalam memerangi rasuah dan ketirisan di negara ini.

“Isu yang dibangkitkan konon kita longgar terhadap permasalah rasuah, itu tidak benar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi Februari di Puspanitapuri, Putrajaya hari ini.

Katanya, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah memberi kata dua kepada beliau berhubung keputusan terhadap Najib itu.

“Tiada ugutan, malah Datuk Seri Ahmad Zahid ada di sini, dia tak pernah beri kata dua kepada saya (berhubung kes Najib).

“Ada hak dia (Najib) atau parti supaya Perdana Menteri dan Lembaga Pengampunan beri pertimbangan.

“Sama ada saya suka atau tidak, rakan atau musuh politik, prinsip keadilan dan proses itu harus dihormati,” katanya.

Anwar berkata, banyak perkara perlu diutamakan Kerajaan Perpaduan bagi kebaikan rakyat.

“Antaranya berhubung soal ekonomi dan penyelarasan gaji penjawat awam,” katanya.

Jumaat lalu, Lembaga Pengampunan meringankan hukuman penjara Najib kepada enam tahun dan mengurangkan denda perlu dibayarnya kepada RM50 juta daripada RM210 juta seperti diperintahkan mahkamah.

Najib memulakan hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022, berikutan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Beliau dibicarakan di hadapan hakim Nazlan Ghazali (kini hakim Mahkamah Rayuan) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah membabitkan RM42 juta dana milik SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Pada 28 Julai 2020, beliau disabitkan atas semua pertuduhan dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun bagi setiap pertuduhan yang menyaksikan Nazlan memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak. – 5 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Not just stupid, but blatantly insulting: Saravanan slams Era FM’s Thaipusam ‘jokes’

MIC deputy president denounces actions of radio presenters imitating sacred kavadi dance, calling it ‘brainless’ and ‘disgraceful’

Megat Hafiz A.C.A.B tetap saman empat individu yang muat naik hantaran berbaur hasutan, ugutan dan penghinaan

Vokalis dan pemain gitar kumpulan skinhead, A.C.A.B, Megat Hafiz Mohammad atau Magskin memaklumkan salah seorang daripada empat individu yang sebelum ini telah mengeluarkan hantaran jelek berbaur hasutan, penghinaan serta ugutan dengan niat menjatuhkan dirinya telah ditahan polis di Pahang.

Related