Bukit Gantang cuba pancing sokongan, saya tak dengar pun perkara itu…: Dr Afif

Menurutnya, isu diperkatakan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz itu tidak timbul dalam kalangan Ahli Parlimen Bersatu

12:44 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dakwaan Ahli Parlimen Bukit Gantang bahawa 10 lagi Ahli Parlimen Bersatu dijangka memberi sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan ini, dianggap sebagai cubaan menunjukkannya setia kepada pemimpin itu dan ‘memancing’ sokongan untuk Perdana Menteri.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Afif Bahardin berkata, isu diperkatakan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal itu tidak timbul dalam kalangan Ahli Parlimen parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan.

Malah, beliau menegaskan, menerusi perbualannya dengan sebahagian Ahli Parlimen, terutama dalam kalangan Bersatu, sememangnya perkara itu tidak disebut atau didengar.

“Bahkan mereka (Ahli Parlimen Bersatu) sudah menandatangani aku janji sebelum ini yang mengatakan bahawa mereka akan setia dengan parti dan juga perjuangan dibawa parti, jadi tak timbul isu sama ada akan ada lagi (menyatakan sokongan kepada kerajaan Perdana Menteri).

“Pada saya apa yang Bukit Gantang buat tu dia fishing lah, Bukit Gantang ni bila sekarang baru bercakap sebelum ni tak pernah bercakap pun, mungkin dah dapat pelintir tu dia bercakap lah, dah dapat jawatan semua baru dia nak bercakap, nak tunjuk kononnya kesetiaan dia kepada PMX (Perdana Menteri) pada hari ini lah.

“Dia rasa macam sekarang ni orang tu ada kuasa, dia nak pergi sokong, tak apa lah terpulang pada dia…macam contoh sekarang Manchester United tak berapa nak menang tak ramailah sokong, cuba nanti Manchester United menang balik ramailah sokong, benda biasa, jadi bila saya guna konotasi bola tu sama lah macam politik ni,” katanya ketika ditemui Scoop.

Dr Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan berkata, apapun, Bersatu berpegang kepada persetujuan sudah dicapai ketika perbincangan Majlis Pimpinan Tertinggi parti baru-baru ini.

“Kita (parti) sudah bersetuju supaya apa jua cara tindakan dari segi undang-undang dan politik, kita akan ambil untuk paksa mereka (enam Ahli Parlimen yang nyatakan sokongan kepada PMX) ini mengosongkan kerusi kerana pada kita, nak ada PRK (Pilihan Raya Kecil) untuk keenam-enam kerusi ini.

“Kita dah buat keputusan, kita akan proceed (meneruskan) benda tu, cuma sekarang kita masih bincang perinciannya, macam mana nak laksana,” katanya.

Setakat ini, enam Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar, iaitu Syed Abu Hussin Hafiz, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan terbaharu, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Keseluruhannya, Bersatu mempunyai 31 Ahli Parlimen dan walaupun enam daripada mereka itu kini menyatakan sokongan terhadap Anwar, jumlah wakil rakyat parti berkenaan masih tidak berubah.

Dalam satu sidang medianya, Syed Abu Hussin Hafiz mendedahkan kononnya seramai 10 lagi Ahli Parlimen Bersatu dijangka menyatakan sokongan kepada Anwar menjelang pembukaan sidang Parlimen, 26 Februari ini.

Manakala menerusi laporan media semalam, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, parti itu akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) dalam masa terdekat bagi meminda perlembagaannya berkaitan tindakan ke atas ahli yang mengkhianati parti.

Katanya, cadangan pindaan itu sudah diluluskan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) 28 Januari lalu dan kini perincian dilakukan mengikut Perkara 10 Perlembagaan parti.

“Kita akan perbaiki sedikit cadangan pindaan seperti dipersetujui dalam mesyuarat, kemudian kita akan teliti dan mengesahkannya sekali lagi dalam mesyuarat MPT Khas.

“Selepas mendapat kelulusan, kita akan panggil EGM dalam masa terdekat, yang akan membabitkan perwakilan parti yang hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) November lalu,” kata Razali. – 4 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related