Sistem kehakiman harus dipertahan, dielakkan daripada sebarang sangkaan: Shahrir Samad

Shahrir Samad lihat ‘dendam orang yang kalah' akan mewujudkan ‘dendam’ berterusan ketika mereka pula berkuasa.

2:35 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sistem kehakiman negara harus dipertahankan dan dielakkan daripada sebarang bentuk sangkaan khususnya daripada tindakan ‘dendam orang yang kalah’.

Demikian ditegaskan veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad yang melihat ‘dendam orang yang kalah’ itu akan mewujudkan ‘dendam’ berterusan ketika mereka pula yang menang dan kemudiannya berkuasa.

Tanpa menyebutkan mana-mana pihak, beliau melihat situasi itu ketika berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila beliau sendiri berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Razak melalui sekeping cek kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Selepas PRU14, saya pun nyatakan kepada akhbar bahawa saya tak takut sangat kepada dendam orang kalah, orang kalah biasanya dia dendam tetapi tiada kuasa. Tetapi bila menang dan ada kuasa, dan kita pula ada perasaan dendam, ini bahaya.

“Dan sebab itu buku saya Dendam Orang Menang menceritakan pengalaman saya dalam mahkamah, tuduhan yang sungguh unik, luar biasa bila sebuah agensi ambil alih kuasa badan kerajaan lain, sedangkan mereka bukan pakar akta percukaian.

“Bagi saya, saya memegang teguh kepada prinsip bahawa (sistem) kehakiman ialah sesuatu yang harus dipertahankan, dielakkan daripada sebarang sangkaan dan sebagainya. Tetapi sungguhpun begitu banyak perkara yang telah berlaku semenjak PRU14, sebab itu saya ambil tajuk pada buku saya Dendam Orang Menang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku terbaharu terbitan The Patriots, Dendam Orang Menang tulisannya dan Keputusan Akhir: Dari Pekan Ke Penjara, tulisan Ariff Lias di ibu negara hari ini.

Beliau berkata, dalam soal undang-undang, semua pihak kena angkat dan berpegang teguh kepada matlamat yang bukan hanya untuk menuduh atau mendakwa sesiapa yang didapati mengikut tafsiran pihak yang berkuasa mungkin melakukan kesalahan atau sebaliknya,

“Tetapi tujuan undang-undang adalah untuk mencapai keadilan, ini yang saya pegang. Walaupun saya bukan pengamal undang-undang tetapi dalam kerjaya saya, semasa saya dalam politik, bukan sekali sahaja, masa 1988 yang saya ketengahkan soal pemecatan Tun Salleh Abas (bekas Ketua Hakim Negara).

“Ketika itu saya letak jawatan untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi mengukur pandangan dan perspektif fahaman pengundi-pengundi Johor Bahru dan juga satu negara tentang apa yang telah berlaku kepada sistem kehakiman kita disebabkan oleh tindakan rakus yang menyebabkan Tun (Allahyarham Tun Salleh Abas) dipecat.

“Selepas itu timbul keadaan di mana adanya keraguan, kegusaran tentang kedudukan hakim-hakim besar dalam negara kita. Dan pada ketika itu, saya pernah bersemuka dengan hakim-hakim yang kanan mengenai kegusaran mereka apa yang telah berlaku dalam judiciary,” katanya.

Dan katanya, ia disusuli dengan keputusan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi (ketika itu Perdana Menteri) dan menteri undang-undang untuk menubuhkan suruhanjaya pelantikan hakim.

“Tujuannya untuk menentukan proses lantikan dan juga sistem kehakiman kita ini dapat diputuskan secara berproses dan ikut kaedah-kaedah tertentu,” katanya. – 3 Februari, 2024

Topics

Hangat

China’s rising 17-year-old badminton star, Zhang Zhijie, dead after collapsing on court

He was participating in the ongoing Asian Junior Badminton Championships in Indonesia

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Poor driver vetting will steer public away from inDrive, says assault victim’s lawyer

Victim has criticised the company’s lack of transparency and slow response, is prepared to take legal action

Related