Mengapakah kes Najib diberikan keutamaan untuk dipertimbang sedangkan…: Bersih

Justeru, Bersih menegaskan, Lembaga Pengampunan wajib menjelaskan alasan pengurangan hukuman Najib kerana kesalahan beliau, melibatkan penyelewengan wang negara jutaan ringgit.

9:45 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dipercayai akan memberi kesan besar kepada kepercayaan seluruh rakyat berhubung sistem keadilan negara.

Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkata, walaupun Lembaga Pengampunan mempunyai hak Perlembagaan untuk mengambil tindakan itu, Najib sepatutnya menjalani hukuman penuh di atas kesalahannya.

“Mengapakah kes Najib Razak diberikan keutamaan untuk dipertimbang sedangkan hari ini masih ramai mereka dipenjara, khususnya dalam kalangan rakyat yang masih menunggu peluang untuk mendapatkan ruang pengampunan?

“Negara tidak boleh memberi isyarat bahawa pemimpin politik yang melakukan kesalahan dan disabitkan bersalah, boleh mengambil jalan pintas untuk bebas dari hukuman, seolah-olah ada undang-undang dua darjat untuk orang biasa dan orang atasan,” katanya.

Bersih berkata, Mahkamah Persekutuan pada 2022 mengekalkan sabitan terhadap jenayah dilakukan Najib kerana menyeleweng wang negara sebanyak RM42 juta dalam kes SRC International, seterusnya menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda RM210 juta.

“Sabitan ini sangat jelas menunjukkan bahawa Najib merompak wang negara dan di pihak Bersih, kami tidak melihat kewajaran untuk mengurangkan hukuman penjara mahupun denda yang disabitkan,” katanya.

“Justeru, Lembaga Pengampunan wajib menjelaskan alasan pengurangan hukuman kerana kesalahan beliau, melibatkan penyelewengan wang negara jutaan ringgit,” katanya.

Menurut Bersih, pihaknya pada 2022 melancarkan satu petisyen untuk mengumpul pandangan rakyat terhadap isu pengampunan Najib.

Petisyen ditandatangani lebih 150,000 rakyat Malaysia itu, katanya, mencerminkan sentimen rakyat yang sangat kuat untuk menolak pembebasan Najib atau mana-mana pemimpin politik apabila disabitkan kesalahan rasuah dan pecah amanah.

Pada masa sama, Bersih menegaskan semula tuntutan kepada pihak Peguam Negara dan Kerajaan Persekutuan supaya menetapkan polisi untuk menghentikan pemberian sebarang ‘dilepas tanpa dibebaskan’ (DNAA) kepada kes rasuah sedang dibicarakan.

“Ini khususnya melibatkan ahli politik, sementara menanti pindaan undang-undang untuk memisahkan peranan dan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya,” katanya.

Semalam, menerusi kenyataannya, Lembaga Pengampunan memaklumkan, pihaknya bersetuju untuk Najib dibebaskan pada tarikh lebih awal, iaitu 23 Ogos 2028, manakala denda RM210 juga yang perlu dibayar beliau dikurangkan kepada RM50 juta.

Pengurangan hukuman 50 peratus itu diputuskan selepas mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61bersidang pada 29 Januari lalu.

Bagaimanapun, Urusetia Lembaga Pengampunan berkata, jika denda itu tidak dibayar, tempoh penjara Najib akan ditambah setahun di mana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029.

“Sebanyak lima kertas pengampunan, termasuk permohonan Datuk Seri (Najib) dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong (ketika itu), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya.

Pada 28 Julai, 2022, Mahkamah Tinggi mensabitkan bekas Presiden Umno itu yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan dengan tuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan dihukum penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Ia susulan beliau gagal dalam rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda.

Najib mengemukakan rayuan tetapi ditolak Mahkamah Rayuan dan dihukum penjara pada 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah atas tuduhan berkenaan.

Beliau memohon pengampuran Diraja pada 2 September tahun sama. – 3 Februari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related