Pemimpin politik sepatutnya matang, jangan gunakan isu permohonan Najib kelirukan rakyat

Keputusan permohonan pengampunan Najib tidak mencerminkan tatakelola kerajaan kerana segalanya atas budi bicara Agong

3:30 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Walaupun Lembaga Pengampunan belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak, isu tersebut dikhuatiri menjadi modal pembangkang untuk menghentam kerajaan terutama dalam aspek tatakelola.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Rusdi Omar berkata, wakil rakyat pembangkang yang dilihat begitu taksub berpolitik ketika ini akan menggunakan kesempatan tersebut untuk mengelirukan rakyat.

Apa saja keputusan yang diumumkan Lembaga Pengampunan tidak mencerminkan tatakelola Kerajaan Perpaduan kerana permohonan bekas Perdana Menteri itu diputuskan atas budi bicara Yang Dipertuan Agong (YDPA). – Gambar Scoop, 1 Februari, 2024

“Mereka (pembangkang) pasti akan ambil kesempatan isu pengampunan Najib untuk menghentam kerajaan dalam isu tatakelola. Kadang-kala mereka ini terlalu banyak berpolitik, lebih tahu daripada Lembaga Pengampunan, lebih sudu daripada kuah.

“Kita sebagai seorang pemimpin politik yang matang dan inginkan kerajaan yang stabil sepatutnya tunggu kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan,” katanya kepada Scoop.

Di bawah Perkara 42(9) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh mempertimbangkan sebarang pendapat bertulis yang diberikan oleh Peguam Negara, yang merupakan ahli Lembaga Pengampunan, dalam permohonan pengampunan.

Namun ia terpulang kepada Agong untuk membuat keputusan atas nasihat Lembaga Pengampunan kerana baginda mempunyai budi bicara mutlak untuk memberikan pengampunan.

Menurut Rusdi, apa saja keputusan yang diumumkan Lembaga Pengampunan tidak mencerminkan tatakelola Kerajaan Perpaduan kerana permohonan bekas Perdana Menteri itu diputuskan atas budi bicara Yang Dipertuan Agong (YDPA).

“Kita tak boleh hendak kata kerajaan itu tak memperlihatkan tatakelola yang baik dan sebagainya, sebab pengampunan ini tiada kena mengena dengan kerajaan.

“Dari segi pengampunan, itu hak mutlak Yang Dipertuan Agong, bukan kerajaan, Agong sahaja yang boleh bagi pengampunan bergantung budi bicara.

“Jadi apa-apa keputusan kena terima, sama ada baik atau tidak baik, benda itu dah ada dalam Perlembagaan, terimalah dengan hati terbuka,” katanya.

Tambah Rusdi, kebiasaannya pengampunan diberikan Agong kepada pesalah tidak melihat kepada tempoh masa hukuman dijalani mereka.

“Pengampunan ini tidak ada tempoh pun, kalau kata hari ini dipenjara, kalau esok Agong nak bagi pengampunan kena terimalah.

“Kerana ini melibatkan Yang Dipertuan Agong, kalau ada pihak tak berapa setuju tarik balik keistimewaan itu, tapi adakah kita mahu melakukan perkara itu?,” soalnya.

Sementara itu, penganalisis sosiopolitik dari Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, apa sahaja keputusan Agong dalam soal pengampunan, perlu dihormati.

Penganalisis sosiopolitik dari Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi. – Gambar Facebook, 1 Februari, 2024

“Institusi Agong melangkaui kepentingan politik, jadi apa kesan kepada negara? Kita tahu Agong mempunyai kuasa tersebut.

“Sama seperti apa yang berlaku di Thailand, bekas Perdana Menterinya, Thaksin Shinawatra misalnya pernah dipenjarakan dan kemudian diberi pengampunan oleh Raja Thailand.

“… dan ini berdasarkan sumbangan yang diberi Thaksin kepada negara sebelum ini sebelum disabit kesalahan.

“Saya kira begitu juga keadaan di Malaysia, sekiranya Najib diberi pengampunan, ia selari dengan budi bicara dan kuasa tertinggi pada Agong,” katanya.

Isu permohonan pengampunan Najib terus mengundang spekulasi berikutan belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan sama ada di pihak kerajaan mahupun oleh Lembaga Pengampunan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa yang mengesahkan menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengampunan di Istana Negara pada Isnin lalu juga tidak menafikan atau mengiyakan maklumat yang tular.

Malah beliau hari ini memaklumkan keputusan mengenai perkara itu akan diumumkan minggu ini.

“InsyaAllah, minggu ini akan diumumkan,” katanya ringkas kepada media pada program di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, isu pengampunan Najib turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu, namun mengingatkan pengamal media tempatan dan luar negara untuk menunggu kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan sebelum membuat laporan mengenainya.

Media antarabangsa Channel NewsAsia (CNA) dalam laporannya mendakwa Najib diberikan pengurangan hukuman daripada 12 kepada enam tahun.

Media itu yang memetik sumber termasuk pegawai kanan kerajaan, melaporkan pengurangan hukuman penjara terhadap Najib atas kesalahan rasuah dibuat Lembaga Pengampunan itu dalam mesyuarat pada Isnin lepas.

Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Ogos 2022 lalu mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda ke atas Najib kerana menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Ketika ini, Najib masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dengan pendakwaan telah memanggil saksi ke-46, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, 76.

Dua lagi kes ialah jenayah pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) yang mana perbicaraan akan dimulakan pada Jun manakala pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta akan didengar pada September. – 1 Februari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Related