Roti canai lauk kambing santapan ‘wajib’ Agong di Muar 

Sekiranya tidak sempat berangkat ke restoran itu, Hassan berkata Seri Paduka Baginda akan meminta menu kegemaran terbabit dihantar ke Istana Hinggap Muar

1:04 PM MYT

 

MUAR – Bagi penduduk di sekitar Muar, Restoran HD di Jalan Maharani bukanlah asing terutama dalam kalangan penggemar roti canai dan nasi beriani.

Keenakan nasi beriani khususnya beriani kambing yang dimasak menggunakan resipi dari India menjadikan restoran terletak di antara deretan kedai lama di tengah-tengah Bandar Diraja itu sering menjadi tumpuan pelanggan seawal 6 pagi.

Pemilik Restoran HD, Hassan Daud, 65, berkata roti canai berserta beriani kambing menjadi santapan ‘wajib’ Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim jika Seri Paduka Baginda berangkat ke restorannya.

Menurut Hassan, Sultan Ibrahim lazimnya berangkat ke restorannya selepas solat subuh dengan menunggang basikal sejauh dua kilometer dari Istana Hinggap Muar dan kadangkala menaiki motosikal semata-mata mahu menikmati santapan kegemaran itu.

“Ada kalanya Sultan Ibrahim akan datang terus ke sini tanpa memaklumkan terlebih dahulu… kebiasaannya baginda datang kira-kira 6.30 pagi.

“Namun, Tuanku tidak pernah meminta saya menghentikan jualan untuk pelanggan lain setiap kali bersantap di sini, malah menyuruh saya meneruskan operasi seperti biasa kerana ketika itu juga baginda mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan rakyat jelata,” katanya kepada Bernama.

Sekiranya tidak sempat berangkat ke restoran itu, Hassan berkata Seri Paduka Baginda akan meminta menu kegemaran terbabit dihantar ke Istana Hinggap Muar.

Menurut Hassan, sejak Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli bersantap di restorannya pada 2000, menu roti canai berlaukkan beriani kambing cukup laris menyebabkan beliau tidak menang tangan terutamanya pada hujung minggu.

Hal itu menyebabkan beliau terpaksa meminta bantuan menantunya Shafienaa Mohd Rubaai, 27, dan isterinya Zaidah Mohamad, 40, untuk mengurus serta melayan pelanggan.

“Selain Sultan Ibrahim, anakanda baginda Almarhum Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil juga kerap minum di sini, dengan minuman kegemaran Almarhum adalah teh serta roti canai kosong,” katanya.

Hassan berkata beliau belajar memasak beriani kambing itu daripada seorang kenalannya yang  digelar Haji Mahmood dan berasal dari Madras, India, lebih 40 tahun lepas dengan rempah disediakan perlu digiling, bukannya dikisar.

“Saya hanya belajar cara memasaknya sekali sahaja dan selepas itu saya mencubanya sendiri beberapa kali dan menjadi,” katanya.

Pada masa yang sama, Hassan turut melahirkan rasa bangga kerana masakannya digemari oleh Sultan Ibrahim yang kini merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Beliau berkata Restoran HD yang beroperasi dari 5.30 pagi hingga 2 petang turut menyediakan pelbagai jenis sarapan dan Nasi Beringin, yang terkenal di daerah itu. – 1 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related