Tampil pelakon Melayu bertutur Tamil, iklan produk makanan raih perhatian, ‘tengah gelak tak sedar air mata bertakung’

Kisah itu menceritakan mengenai wanita bernama Kamannah dilayan buruk pasangannya dan ibu lelaki terbabit atas alasan tidak pandai melayan makan minum suami

11:02 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kreatif dan menghiburkan.

Itu komen netizen mengenai sebuah iklan tular di media sosial sejak semalam yang memaparkan kisah sedih seorang wanita dikasari suami dan ibu mentuanya kerana ia menampilkan pelakon Melayu bertutur dalam bahasa Tamil.

Lebih menarik perhatian dan menerima pujian ramai, iklan produk makanan itu mengetengahkan cerita ala filem Tamil, dengan karakter watak pelakon lelakinya seperti gaya sinonim sering dibawakan aktor popular India, Rajinikanth.

Kisah itu menceritakan mengenai wanita bernama Kamannah dilayan buruk pasangannya dan ibu lelaki terbabit atas alasan tidak pandai melayan makan minum suami.

Selepas memarahi menantunya kerana dianggap memalukan, ibu mentuanya memujuk suami Kamannah dengan menghidangkan produk makanan diiklankan itu.

Akibat sedih dikasari, malah tidak dibenarkan duduk semeja serta disuruh makan di tangga luar rumah, Kamannah akur dan membawa sepinggan daging perap dan bebola daging daripada jenama produk berkenaan.

Ibu mentuanya kemudian menolak kepala Kamannah kerana memakan sehingga habis hidangan itu.

Walaupun memohon maaf kepada wanita terbabit, Kamannah tetap dipersalahkan kerana makanan itu adalah kegemaran ibu mentuanya, sekali gus menyebabkan suaminya menolak dan mengusir dia dari rumah.

Plot aksi filem Tamil bermula apabila dia jatuh di kaki abangnya yang tiba-tiba datang ke situ, sebelum ‘membelasah’ suami Kamannah dan beberapa kuncunya kerana memperlekehkan keluarga Kamannah.

Bagaimanapun, selepas penonton dilamun perasaan sedih dan marah dengan tindakan keluarga suaminya, muncul elemen ‘lucu’ apabila abangnya meminta ibu mentua Kamannah memberikannya beberapa pek produk makanan itu sebelum dia beredar bersama adiknya.

“Macam mana korang boleh pandai cakap Tamil pula ni,” soal seorang netizen sebelum dijawab admin Instagram Pak Mat Western Cafe ‘berlatih semasa penggambaran’.

“Tengah gelak-gelak tak sedar ada juga air mata bertakung,” kata Irine_nadia.

“Dalam marah-marah tu dapat juga lah daging perap…,” ujar seorang netizen lain.

Kemampuan pelakon Melayu bertutur dalam bahasa Tamil untuk iklan terbaharu Pak Mat Western mencuit hati pengguna media sosial. – Gambar tangkap layar Facebook, 31 Januari, 2024

Namun, ada pula segelintir pengguna media sosial ingin mengetahui sama ada sebutan Tamil dilontarkan pelakon Melayu itu, benar-benar tepat dengan meminta netizen berbangsa India menjelaskannya.

“Hampa sebut ni betul ka? Ada kawan-kawab India boleh sahkan tak? Aku tak faham tapi enjoy (terhibur) tengok marketing macam ini,” ujar Irimsan.

“Nak tanya diaorang cakap Tamil tu, betul-betul sebutannya ke? Kalau betul power (hebat) eh korang,” tulis Aizaikhmal.

Di sebalik pujian kebanyakan netizen kerana lakonan mantap semua pelakon, ada yang geram dengan layanan buruk terhadap Kamannah.

“Belum level cerita Tamil kalau tak ada aksi tak masuk akal. Mak mentua dia tu patut campak sangkut kat kipas’,” kata Asanahcamper.

“Jahatnya mak mentua, geram betul aku,” komen pengguna lain.

Sejak dimuat naik kira-kira 6.30 petang semalam, iklan itu sudah ditonton 668,000 pengguna Instagram dan ribuan netizen di beberapa media sosial lain setakat 9.30 pagi ini. – 31 Januari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Rape allegations at centre of preacher Zamri Vinoth’s defamation trial

Witness for defence claims in her testimony that preacher had raped her at his Rahang home in 2018

Related