KUALA LUMPUR – “Cik, sekarang ini harga nasi ayam penyet, teh o ais limau, RM12 ya. Sebelum ini RM10.50, kena naikkan harga sebab bahan mentah pun naik harga juga. Harga makanan lain juga naik”.
Demikian diberitahu seorang peniaga di sebuah restoran di Ampang, Selangor kepada Scoop mengenai harga semasa makanan yang dijual di kedai milik suaminya ekoran kenaikan harga bahan mentah khususnya bawang.
Malah dia yang enggan namanya disiarkan memberitahu, tindakan menaikkan harga makanan tidak dapat dielakkan ketika ini.
Dalam pada itu, tinjauan Scoop di sebuah restoran di ibu negara mendapati, harga seketul ayam goreng naik kepada RM7 berbanding RM5.50 sebelum ini.
Perkara sama turut dikongsi seorang peniaga nasi ayam di medan selera dekat Petaling Jaya, Selangor yang terpaksa menaikkan harga jualan ekoran kenaikan harga bahan mentah.
Mengulas mengenai perkara itu, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, peniaga terpaksa menaikkan harga jualan disebabkan kenaikan harga bahan mentah yang perlu ditanggung mereka.
Rosli berkata, kenaikan harga jualan merupakan pilihan terakhir yang perlu dilakukan agar dapat mengekalkan sedikit margin keuntungan biarpun rata-rata bahan mentah sekarang dijual pada harga tinggi sehingga membebankan peniaga.
“Saya memahami rungutan pembeli dan pelanggan, namun mereka harus tahu juga peniaga sekarang terbeban dengan kenaikan harga semua bahan mentah yang diperlukan untuk barang jualan mereka.
“Sebagai contoh, untuk nasi ayam penyet, harga ayam dah naik dan mereka pun jual potong empat bahagian. Kalau jual saiz kecil, takut pelanggan akan bising. Jadi nak tak nak, mereka perlu menaikkan sedikit harga agar dapat sedikit keuntungan ataupun sekurang-kurangnya dapat balik modal.
“Nak buat hidangan ayam penyet selain ayam, cili juga bahan utama dan dah naik harga. Jadi dengan menaikkan sedikit harga, ia pilihan yang dirasakan perlu oleh peniaga atau penjaja. Kalau hendak dibandingkan dengan restoran, harga jualan penjaja masih lagi munasabah dan boleh dinikmati semua golongan,” katanya kepada Scoop.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Nur Asyikin Aminuddin berkata, sememangnya ada beberapa tempat di sekitar Lembah Klang yang menaikkan harga bagi hidangan berasaskan ayam.
Bagaimanapun, katanya, masih terdapat segelintir peniaga dan penjaja yang mengekalkan harga asal makanan dijual mereka.
“Kalau untuk lauk ayam yang dah siap masak, memang kami (Fomca) tidak nafikan ada kenaikan di sesetengah tempat, tetapi ada juga yang mengekalkan harga lauk ayam sama seperti dahulu.
“Pengguna sekarang ada banyak pilihan, contoh kalau kita rasa lauk di kedai A mahal, kita boleh pilih ke kedai lain yang harganya jauh lebih murah dari kedai tersebut.
“Sebagai pengguna, kita ada kuasa untuk buat pilihan yang bijak. Kalau rasa mahal, mungkin boleh cuba di kedai yang lain pula,” katanya.
Pada Oktober tahun lalu, kerajaan mengumumkan penamatan subsidi ayam dan kawalan harga terhadap bahan mentah tersebut.
Bagaimanapun, kerajaan memberi jaminan harga jualan ayam yang diapungkan akan terus berada pada kadar yang munasabah dan terkawal. – 31 Januari, 2024