MOT sasar 40,000 pemandu teksi dilindungi Perkeso tahun ini: Loke

Perincian mengenai skim caruman tersebut hanya akan diumumkan selepas memperoleh kutipan hasil bidaan NPI bagi siri GOLD yang akan berakhir pada 5 Februari

4:53 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) menyasarkan 40,000 pemandu teksi di negara ini diberi perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam usaha meningkatkan jaringan keselamatan sosial buat golongan ini.

Menterinya Anthony Loke berkata inisiatif itu juga bagi menjaga kebajikan pemandu teksi yang kebanyakannya terdiri daripada warga emas dan veteran Angkatan Tentera.

“Mereka ini kalau ikutkan tiada perlindungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Perkeso…kalau jadi apa-apa pada mereka, sekurang-kurangnya inisiatif yang kami berikan ini dapat beri perlindungan kepada golongan ini. 

“Inisiatif ini adalah antara usaha kami untuk bantu rakyat dengan hasil kutipan bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) selama ini yang manfaatnya diberikan semula kepada rakyat,” katanya pada sidang media NPI hari ini.

Loke bagaimanapun berkata perincian mengenai skim caruman tersebut hanya akan diumumkan selepas memperoleh kutipan hasil bidaan NPI bagi siri GOLD yang akan berakhir pada 5 Februari.

“Kami sudah ada angka dan kami juga tahu implikasi kewangan yang bakal terlibat…perinciannya akan diumumkan selepas bidaan siri GOLD selesai,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Loke berkata tunggakan pengeluaran lesen memandu akan ditangani segera dan perinciannya akan dimaklumkan kelak.

“Kami memang tahu ada banyak kes tunggakan lesen memandu, kami akan tanganinya dan percepatkan proses itu…dan kami sudah ada perbincangan dan antara pendekatannya ialah E-Testing yang akan diumumkan selepas Tahun Baharu Cina.

“Kami juga akan beri insentif untuk percepatkan proses ini, saya tidak mahu umumkan dahulu, ada sedikit perincian kena buat, selepas Tahun Baharu Cina saya akan turun ke satu akademi memandu dan kami akan beri perincian,” katanya. – 30 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Elderly, disabled face ‘roadblocks’ as public transport goes fully digital

Consumer group urges government and public transport companies to be more inclusive with digitalisation approach

Cops to call up 13 varsity students who joined Jan 25 anti-graft rally

Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia rep says this includes three from Sabah who would have to fly to KL; summoned rallygoers may meet police together on Sunday to receive notice

Related