Ancam keselamatan PM, pemandu lori dipenjara 6 bulan

Timbalan Pendakwa Raya berkata hantaran yang dibuat oleh OKS adalah tidak wajar serta bersifat mengancam dan dia perlu lebih berhati-hati menggunakan media sosial

2:37 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana membuat hantaran mengancam untuk membunuh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di aplikasi TikTok, tahun lepas.

Hakim N. Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman itu ke atas Faizal Mohamad, 35, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Faizal yang menangis selepas mendengar hukuman itu, didakwa membuat dan memulakan penghantaran yang mengancam sifatnya terhadap Anwar dan menteri-menteri dengan menggunakan nama profil Tiktok @jaiadani89 dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 20 November 2023.

Hantaran itu telah dibaca pada 26 November tahun sama, pada 12 tengah hari di sebuah kondominium di Jalan Tong Shin, Dang Wangi di sini, mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan. 

Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal berkata hantaran yang dibuat oleh OKS adalah tidak wajar serta bersifat mengancam dan dia perlu lebih berhati-hati menggunakan media sosial.

“Saya mohon OKS dikenakan hukuman setimpal supaya satu mesej pengajaran dapat diberikan kepada OKS dan masyarakat,” katanya.

Faizal yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda dikurangkan kerana dia yang baru bekerja dengan berpendapatan RM2,000 sebulan selain perlu menanggung dua anak berumur tujuh dan lapan tahun serta ibu yang menghidap sakit jantung.

“Isteri saya tidak bekerja. Saya ada banyak hutang yang tak bayar dan kelengkapan sekolah anak-anak pun tak beli lagi, oleh itu saya mohon mahkamah memberi tempoh kepada saya untuk bayar denda kerana gaji saya dibayar pada 5 atau 6 haribulan setiap bulan,” katanya. – 30 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related