KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor yang baharu manakala Mohamad Hanifah Abu Bakar pula diberi peranan untuk memimpin Bersatu Negeri Sembilan.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perubahan kepimpinan peringkat negeri itu diputuskan dalam mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu malam tadi yang dipengerusikan, Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Parti mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Abdul Rashid Asari yang memimpin kedua-dua negeri tersebut sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Hamzah, beberapa lantikan turut dipersetujui dengan Datuk Radzi Jidin memegang jawatan Biro Ekonomi, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Biro Antarabangsa), Datuk Azman Nasrudin (Biro Pendidikan), Datuk Wan Saiful Wan Jan (Biro Latihan) manakala Fadzillah Mohd Pilus dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin yang baharu.
“Pada masa sama, beberapa langkah bagi membugarkan Bersatu, Datuk Azman Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Padang Serai, Dr Afif Bahardin (Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Medan) dan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Penolong Setiausaha Srikandi Malaysia) dilantik sebagai Ahli MPT yang baharu,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, mesyuarat tersebut turut bersetuju mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana wakil rakyat yang khianat bagi maksud pengosongan kerusi dan Bersatu bersedia untuk berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK).
Katanya, selaras dengan ketegasan itu, MPT juga bersetuju meminda Perkara 10 Perlembagaan BERSATU menghalang insiden wakil rakyat mengalihkan sokongan mereka kepada pihak tertentu.
Terdahulu, enam Ahli Parlimen Bersatu sudahpun menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Enam wakil rakyat itu ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan terbaru,Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Dalam pada itu, Hamzah turut memaklumkan mesyuarat malam tadi turut membincangkan banyak perkara terutamanya mengenai situasi ekonomi negara dan kenaikan kos sara hidup. – 29 Januari, 2024