KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan kesempatan ketika melawat Program Jualan Ikan, Udang dan Sotong Murah Parlimen Tambun untuk mendengar sendiri keluh-kesah masyarakat berkaitan kehidupan seharian dan peningkatan kos sara hidup.
Berikutan itu, Perdana Menteri menitipkan jaminan bahawa kerajaan sentiasa berikhtiar bagi membantu rakyat termasuk mewujudkan jualan murah bersama pihak terkait yang dijangka memberi manfaat kepada semua lapisan.
“Insya-Allah, program jualan barangan keperluan ikan, ayam, beras dan sebagainya dengan harga murah seperti hari ini, akan diperluas ke seluruh negara kelak,’’ katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ia merupakan sebahagian daripada lawatan kerja Anwar ke Perak hari ini.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut menziarahi keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad, bagi menyampaikan takziah atas pemergian bapanya yang meninggal dunia pada usia76 tahun, akibat sakit tua semalam.
Selain itu, Perdana Menteri juga turun padang ke Pasar Borong Mydin di Meru, Ipoh bagi melihat sendiri kesedaran dan impak program bersubsidi Sumbangan Asas Rahmah (Sara) untuk membantu menambah kuasa beli kepada mereka yang memerlukan.
Ia bagi membolehkan mereka mendapatkan barang-barang asas dari rangkaian rakan runcit dengan lebih 500 kedai yang terlibat di seluruh negara.
Sara telah dimumkan pada minggu lepas dan merupakan salah satu langkah merealisasikan usaha membantu golongan yang memerlukan.
“ltizam saya adalah untuk mereformasi ekonomi negara agar kita dapat menjulang darjat rakyat sejagat dan ini wajib bermula dengan golongan yang kurang berkemampuan. Moga ia bermanfaat dan meningkatkan ekonomi negara,’’ katanya. – 28 Januari, 2024