Majlis Liga Arab bincang keputusan ICJ hari ini

Mesyuarat yang akan dipengerusikan Maghribi itu diadakan atas permintaan Palestin

12:43 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Majlis Liga Arab akan mengadakan sesi luar biasa di peringkat perwakilan tetap hari ini berhubung langkah sementara yang diperintahkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkenaan konflik di Gaza.

Penolong Setiausaha Agung Liga Arab, Hossam Zaki menegaskan, mesyuarat itu diadakan atas permintaan Palestin susulan keputusan yang dikeluarkan oleh ICJ, kelmarin.

Wakil Tetap Palestin ke Liga Arab, Muhannad al-Aklouk berkata, mesyuarat itu akan dipengerusikan Maghribi atas kapasitinya sebagai presiden sesi ke-160 Liga Arab di peringkat menteri, bersama Jordan dan Mesir.

Pada 29 Disember lalu, Afrika Selatan memfailkan tuntutan di ICJ, memohon injunksi terhadap Israel atas alasan serangan negara itu ke atas Gaza melanggar Konvensyen Genosid.

Dalam keputusan malam kelmarin, ICJ mengarahkan Israel melaksanakan enam langkah sementara, termasuk mencegah genosid di Gaza, memastikan tenteranya tidak lagi melakukan sebarang tindakan genosid dan mencegah serta menghukum sebarang hasutan untuk genosid.

Israel juga diarah membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza, mencegah kemusnahan dan memastikan pemeliharaan bukti berkaitan dakwaan genosid dan menyerahkan laporan kepada ICJ mengenai semua langkah diambil bagi melaksanakan perintah itu dalam tempoh sebulan.

Terdahulu, Qatar dan Arab Saudi menyambut baik keputusan dikeluarkan ICJ mengenai kes pembunuhan beramai-ramai (genosid) yang dibawa Afrika Selatan terhadap Israel, yang mengarahkan Israel mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza.

Dalam kenyataan, Kementerian Luar Qatar menyifatkan keputusan mahkamah PBB itu sebagai kemenangan ke atas “kemanusiaan, kedaulatan undang-undang dan keadilan antarabangsa,” sambil menambah ia “berperanan sebagai pengakuan yang jelas tentang ancaman besar pembunuhan beramai-ramai yang melanda penduduk Palestin di Gaza.”

Ia juga mengulangi sokongan padu Qatar untuk keadilan perjuangan Palestin dan hak sah rakyat Palestin, termasuk “penubuhan negara merdeka mereka berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.”

Dalam pada itu, Malaysia juga menyambut baik keputusan ICJ dalam kes yang dibawa oleh Afrika Selatan terhadap Israel di bawah Konvensyen Genosid 1948 mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.

Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, pendirian Malaysia supaya Israel bertanggungjawab atas kekejaman, jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, disokong berikutan keputusan penting ICJ pada Jumaat. – Agensi

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Related