Institusi Yang di-Pertuan Agong perlu terus dipelihara, dipertahan: Al-Sultan Abdullah

Baginda bertitah sekiranya institusi itu bercanggah daripada fungsi dan sifat kewujudannya maka kerajaan akan menjadi lemah manakala negara porak-peranda

8:43 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya institusi Yang di-Pertuan Agong di negara ini terus dipelihara dan dipertahan pada setiap masa.

Baginda bertitah sekiranya institusi itu bercanggah daripada fungsi dan sifat kewujudannya maka kerajaan akan menjadi lemah manakala negara porak-peranda.

Al-Sultan Abdullah bertitah selain itu, institusi Yang di-Pertuan Agong adalah pelindung terakhir kepada kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara.

“Maka tatanglah institusi ini bagaikan minyak yang penuh. Martabatkan institusi ini dan jangan sekali-kali mencemari ia dengan nista dan dusta,” titah Seri Paduka pada Majlis Jamuan Negara sempena tamat pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di sebuah hotel di sini semalam.

Berangkat sama pada majlis itu Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta barisan Jemaah Menteri.

Mengimbau kembali sepanjang pemerintahan selaku Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah bertitah baginda telah dikurniakan keafiatan untuk memerintah negara bersama empat Perdana Menteri.

“Insya-Allah, jika tiada berlaku sebarang aral atau ‘langkah-langkah lain’ dalam tempoh dua hari yang akan datang, beta akan menamatkan pemerintahan bersama Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tidak pernah terlintas di fikiran beta untuk terpaksa memikul tugas berat melantik tiga orang Perdana Menteri dan juga membawa negara keluar dari situasi ketidaktentuan,” titah baginda.

Bagaimanapun, Al-Sultan Abdullah bertitah dalam setiap situasi itu, baginda sentiasa berpegang kepada prinsip demokrasi berparlimen.

Pada masa sama, baginda bertitah mengubah sesuatu semata-mata atas agenda politik tidak akan menguntungkan sesiapa.

“Kita tidak melakukan perubahan hanya sekadar untuk melakukan perubahan. Menukar Perdana Menteri setiap tahun juga tidak akan menjamin apa-apa.

“Akibatnya, rakyat akan menderita, ekonomi akan merudum sehingga akhirnya negara menjadi tidak stabil,” titah Seri Paduka. – 28 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related