KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin melalui peguamnya mengesahkan akan didakwa di mahkamah pada Isnin ini.
Dalam kenyataan ringkas yang dikongsi peguam, Rajesh Nagarajan, taikun itu memberitahu kenyataannya telah direkod oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.
“Peguam saya telah memaklumkan saya akan didakwa pada Isnin ini (29 Januari) atas kesalahan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009, yang merupakan kesalahan berkaitan tidak mengisytiharkan aset.
“Begitulah, saya menantikan hari saya di mahkamah,” katanya.
Khamis lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu Scoop bahawa bekas Menteri Kewangan itu dijangka dikenakan dua pertuduhan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009.
“Perbincangan telah dibuat dengan pihak peguam untuk menuduh beliau pada minggu depan.
“Beliau dijangka dikenakan dua pertuduhan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009,” katanya.
Pada 29 Disember lalu, SPRM mengesahkan siasatan berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Daim dibuat berdasarkan maklumat Kertas Pandora yang dimulakan sejak Februari lalu.
SPRM berkata, satu notis mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) diserahkan kepada beliau supaya mengisytiharkan segala aset sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis serta akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis pada 7 Jun lalu.
“Daim memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan diberikan lanjutan pada 6 Julai; 10 Ogos; 11 September; 11 Oktober dan terakhir pada 14 November lalu untuk mengisytiharkan segala aset miliknya.
“Sebagai sebahagian daripada proses siasatan SPRM, Pendakwa Raya mengeluarkan Notis Penyitaan Menara Ilham mengikut Seksyen 38 (1) Akta 694 (Penyitaan Harta Tak Alih) pada 18 Disember lalu.
“Daim disiasat mengikut Seksyen 23 akta sama dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya.
Rabu lalu, =Azam berkata, Daim sepatutnya sudah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mengikut Akta SPRM kerana suruhanjaya itu sudah mendapat kebenaran berbuat demikian.
Beliau berkata, bagaimanapun pertuduhan belum dapat dilakukan atas alasan kesihatan apabila Daim dimasukkan ke hospital.
Katanya, Jabatan Peguam Negara sudah beri kebenaran mendakwa bekas menteri kanan terbabit sejak minggu lalu.
Jelasnya, pegawai penyiasat telah berhubung dengan peguam Daim namun dimaklumkan beliau dimasukkan hospital.
Isteri Daim, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid pula didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 23 Januari lalu atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan 12 harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Nai’mah, 67, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sejurus jurubahasa membaca pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Wanita itu juga didakwa dengan sengaja memberi satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.
Harta itu adalah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd; dua kenderaan mewah Mercedes Benz; dua rumah di Persiaran Bukit Tunku dan Jalan Athinahapan, Taman Tun Dr Ismail (TTDI); empat lot tanah pegangan bebas di Bukit Tunku dan satu lot tanah, masing-masing di Pulau Pinang dan TTDI. – 27 Januari, 2024