Anak muda pilih ekonomi gig: Kerajaan perlu lakukan sesuatu

Kerajaan perlu memastikan lebih ramai golongan muda menamatkan pendidikan tinggi atau latihan berasaskan teknikal

1:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dengan lebih 90 peratus pekerja p-hailing didominasi mereka yang berusia 30 tahun ke bawah, kerajaan perlu mengenal pasti mengapa generasi muda Malaysia memilih bekerja dalam sektor ekonomi gig, bukannya pekerjaan berkemahiran tinggi yang penting untuk pembangunan negara.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi (SERC), Lee Heng Guie berkata, Putrajaya juga mesti menjalankan kajian terperinci sama ada golongan muda memilih bekerja dalam sektor itu kerana pilihan mereka sendiri atau mungkin ada faktor yang lebih serius – kurang penawaran pekerjaan berkemahiran tinggi. 

Mungkin, ada yang sudah terlalu selesa dengan pekerjaan itu semasa pandemik Covid-19 dan terbiasa dengan ‘tawaran’ masa yang fleksibel.

“Sebaliknya ada yang benar-benar mahukan pekerjaan tetap tetapi tidak dapat pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan mereka. Mungkin juga mereka bekerja sebagai pemandu e-hailing sementara menunggu (tawaran kerja tetap bersesuaian),” katanya kepada Scoop.

Lee Heng Guie berkata, Putrajaya juga mesti menjalankan kajian terperinci sama ada golongan muda memilih bekerja dalam sektor itu kerana pilihan mereka sendiri atau mungkin ada faktor yang lebih serius – kurang penawaran pekerjaan berkemahiran tinggi – Alif Omar/Scoop, 26 Januari, 2024

Tambah beliau, jika semua punca itu telah dikenal pasti, kerajaan sepatutnya mengambil langkah sewajarnya.

Kebimbangan utama dengan sektor ekonomi gig adalah ia tidak membantu meningkatkan produktiviti negara.

“Negara memerlukan rakyat untuk terus menyumbang kepada produktiviti negara. Kita mengeluarkan kira-kira 300,000 lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) setiap tahun dan jika semuanya menyertai ekonomi gig, ia akan menjadi masalah kepada ekonomi negara (secara keseluruhannya),” katanya.

Beliau mencadangkan kerajaan memberi tumpuan kepada program meningkatkan kemahiran bagi menggalakkan lebih ramai belia menyertai sektor tenaga kerja tetap.

Kajian Jabatan Perangkaan (DoSM) melibatkan 6,657 pekerja p-hailing pada 2022 mendapati, 97 peratus daripada mereka berusia 30 tahun ke bawah.

Kebanyakan mereka berpendapatan bawah RM2,500 sebulan.

Sebanyak 40 peratus daripada mereka lepasan SPM atau setaraf manakala hampir 12 peratus pula memiliki ijazah sarjana muda.

Pada 2023, tinjauan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mendapati, tujuh daripada 10 pekerja dalam ekonomi gig adalah pekerja p-hailing.

Ekonomi gig merangkumi lebih daripada sekadar rider dan pemandu p-hailing atau e-hailing.

DoSM melihatnya sebagai sektor pekerjaan tidak formal, yang terdiri daripada 3.5 juta pekerja pada 2021.

Mereka melakukan pelbagai pekerjaan seperti rider dan pemandu p-hailing atau e-hailing, pengasuh, penjaja makanan, tukang jahit, jurujual intenet, penganalisis pengaturcaraan, pertanian dan lain-lain.

TAMBAH BAIK STRUKTUR PASARAN KERJA

Baru-baru ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, adalah lebih berkesan jika kerajaan menetapkan struktur pasaran kerja negara berbanding campur tangan dalam ekonomi gig.

Dalam sesi podcast, beliau berkata, menangani struktur pasaran pekerjaan akan mengimbangi semula penawaran dan permintaan serta membolehkan graduan universiti mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan mereka.

Baru-baru ini Rafizi Ramli berkata, menangani struktur pasaran pekerjaan akan mengimbangi semula penawaran dan permintaan serta membolehkan graduan universiti mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan mereka – Riduan Ahmad/Scoop, 26 Januari, 2024

Untuk itu, bagi Mohd Khaleed Abdullah, 28, perkara itulah yang amat diperlukan olehnya.

Lepasan diploma dalam bidang kejuruteraan awam itu bekerja sebagai pemandu Grab sejak dua tahun lalu selepas gagal mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelayakannya di Sandakan, Sabah.

“Jika saya mempunyai pilihan, sudah tentu saya ingin bekerja dalam bidang kejuruteraan. Tetapi kerana saya mahu tinggal di Sandakan, saya tidak dapat mencari pekerjaan seperti itu di sini,” katanya kepada Scoop.

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kerajaan perlu memastikan lebih ramai golongan muda menamatkan pendidikan tinggi atau latihan berasaskan teknikal bagi memperbaiki kelemahan dalam struktur pasaran pekerjaan.

Pada masa sama katanya, kerajaan juga harus menggalakkan ekonomi yang berdaya saing bagi sektor swasta untuk memacu pertumbuhan.

Mohd Afzanizam Abdul Rashid mengingatkan bahawa tiada jalan pintas untuk negara berubah menjadi sebuah negara maju, yang mampu membuatkan rakyat mendapat gaji serta faedah lebih baik – Gambar fail, 26 Januari, 2024

“Kurangkan kerenah birokrasi dalam proses kelulusan, pastikan bekalan buruh mencukupi selain mengurangkan gangguan dalam bekalan tenaga dan air, pastikan tambah baik rangkaian sektor logistik dan digital serta hapuskan rasuah.

“Ini adalah bidang utama yang akan memberi insentif kepada sektor swasta untuk mengembangkan perniagaan mereka. Dengan cara itu, akan ada permintaan untuk pekerja berkemahiran tinggi yang setara dengan tahap pendidikan dan pengalaman mereka.

“Tiada jalan pintas untuk negara berubah menjadi sebuah negara maju, yang mampu membuatkan rakyat mendapat gaji serta faedah lebih baik,” katanya.

Pakar ekonomi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Shankaran Nambiar pula berkata, belia boleh memilih untuk bekerja dalam ekonomi gig atas sebab mereka sendiri dan itu adalah pilihan individu.

“Bagi kerajaan, mereka harus memberi tumpuan kepada menarik pelaburan, menambah baik sektor kemahiran dan meningkatkan tahap pendidikan,” katanya.

Beliau bersetuju dengan kenyataan Heng Guie bahawa Putrajaya harus mengkaji secara mendalam jika berlaku kekurangan penawaran pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Jika ia disebabkan belia tidak mempunyai kemahiran, sama ada kemahiran insaniah atau kemahiran teknikal, maka ia adalah satu perkara yang membimbangkan.

“Keperluan untuk merombak sistem pendidikan dan latihan berasaskan kemahiran sering dibangkitkan.

“Jika orang ramai memilih ekonomi gig kerana mereka menghargai masa mereka dan keadaan kerja yang fleksibel, maka itu tidak mengapa. Tetapi jika orang ramai beralih kepada sektor ini kerana tiada peluang pekerjaan dalam sektor lain, maka kerajaan harus bimbang,” katanya.

Profesor ekonomi Universiti Utara Malaysia, K. Kuperan Viswanathan bersetuju kerajaan perlu memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan dan membangunkan tenaga kerja terlatih.

“(Dengan ini), lebih banyak peluang pekerjaan akan muncul untuk graduan muda,” katanya. – 26 Januari 2024

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Punk venue Rumah Api faces relocation amid financial struggles, festival fallout

After eight years of operating on the top floor of Menara MPAJ in Ampang Jaya, local punk music venue Rumah Api will be relocating later this year due to increased rental and related arrears that accumulated during the Covid-19 pandemic.

Related