Daim Zainuddin berdepan dua pertuduhan SPRM

Beliau dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sama ada pada Isnin atau Selasa depan

10:40 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dijangka dikenakan dua pertuduhan di bawah Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Scoop hari ini sambil menambah taikun itu akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sama ada Isnin atau Selasa ini.

Beliau turut mengesahkan Daim sudah dibenarkan keluar dari hospital hari ini.

“Perbincangan telah dibuat dengan pihak peguam untuk menuduh beliau pada minggu depan.

“Beliau dijangka dikenakan dua pertuduhan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009,” katanya.

Hari ini Scoop melaporkan Daim telah dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan lebih dua minggu.

Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi Scoop berkata, Daim dibenarkan keluar (hospital) hari ini dan suruhanjaya itu sedang melihat semua pilihan yang ada bagi proses pendakwaan terhadap bekas pemimpin berkenaan.

Pada 29 Disember lalu, SPRM mengesahkan siasatan berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Daim dibuat berdasarkan maklumat Kertas Pandora yang dimulakan sejak Februari lalu.

SPRM berkata, satu notis mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) diserahkan kepada beliau supaya mengisytiharkan segala aset sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis serta akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis pada 7 Jun lalu.

“Daim memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan diberikan lanjutan pada 6 Julai; 10 Ogos; 11 September; 11 Oktober dan terakhir pada 14 November lalu untuk mengisytiharkan segala aset miliknya.

“Sebagai sebahagian daripada proses siasatan SPRM, Pendakwa Raya mengeluarkan Notis Penyitaan Menara Ilham mengikut Seksyen 38 (1) Akta 694 (Penyitaan Harta Tak Alih) pada 18 Disember lalu.

“Daim disiasat mengikut Seksyen 23 akta sama dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya.

Semalam, Azam berkata, Daim sepatutnya sudah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mengikut Akta SPRM kerana suruhanjaya itu sudah mendapat kebenaran berbuat demikian.

Beliau berkata, bagaimanapun pertuduhan belum dapat dilakukan atas alasan kesihatan apabila Daim dimasukkan ke hospital.

Katanya, Jabatan Peguam Negara sudah beri kebenaran mendakwa bekas menteri kanan terbabit sejak minggu lalu.

Jelasnya, pegawai penyiasat telah berhubung dengan peguam Daim namun dimaklumkan beliau dimasukkan hospital.

Kelmarin isteri Daim, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan 12 harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Nai’mah, 67, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sejurus jurubahasa membaca pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Wanita itu juga didakwa dengan sengaja memberi satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Harta itu adalah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd; dua kenderaan mewah Mercedes Benz; dua rumah di Persiaran Bukit Tunku dan Jalan Athinahapan, Taman Tun Dr Ismail (TTDI); empat lot tanah pegangan bebas di Bukit Tunku dan satu lot tanah, masing-masing di Pulau Pinang dan TTDI. – 25 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Related