KUALA LUMPUR – Kerajaan sewajarnya mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan pihak-pihak berkepentingan sebelum membuat keputusan menghapuskan skim pencen untuk penjawat awam baharu berstatus tetap.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, sekiranya kerajaan mahu melaksanakan sesuatu perkara perlulah berlandaskan prinsip tidak dikurangkan faedah semasa yang dinikmati penjawat awam ketika ini.
“Kerajaan sewajarnya mengadakan sesi libat urus (perbincangan) terlebih dahulu sebelum terus menetapkan skim caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) secara mandatori kepada lantikan baharu kelak.
“Dengan skim gaji yang masih rendah dalam perkhidmatan awam ketika ini, skim caruman KWSP dilihat tidak membantu penjawat awam mempunyai simpanan hari tua yang baik selepas persaraan kelak.
“Disebabkan itulah kebanyakan penjawat awam lebih memilih skim pencen kerana ia adalah keistimewaan yang terbaik kepada mereka,” katanya kepada Scoop hari ini.
Adnan berkata, kerajaan juga seharusnya perlu mengkaji semula pemberian pencen kepada ahli politik yang dipercayai lebih banyak memakan kos berbanding kepada penjawat awam yang lain yang kebiasaannya akan berkhidmat lebih 30 tahun berbanding ahli politik yang kadangkala cuma menggalas tugas untuk satu penggal.
“Jika kekangan kewangan yang menghalang kerajaan untuk meneruskan skim pencen perkhidmatan awam, kerajaan juga perlu mengkaji semula pemberian pencen kepada ahli politik.
“Ketika ini, ahli politik yang dipilih menjadi wakil rakyat membabitkan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri serta dilantik ke dalam jawatan eksekutif seperti exco, menteri, timbalan menteri juga layak untuk menerima pencen. Pemansuhan pemberian pencen kepada golongan ini terlebih dahulu merupakan langkah yang tepat kerana kebanyakan mereka berkhidmat sekitar lima tahun sahaja.
“Keutamaan kepada kerajaan ketika ini adalah mengkaji bagi kes-kes yang berkhidmat waktu singkat tetapi menikmati faedah saraan yang agak selesa dan bukannya menyasarkan kepada penjawat awam sahaja,” katanya.
Sementara itu, Cuepacs menyambut baik pencerahan yang diberi oleh Jabatan Perkhidmatan Awam bahawa pengambilan secara lantikan kontrak sebagaimana yang diumumkan oleh kerajaan adalah langkah sementara bagi pengambilan baharu dalam perkhidmatan awam bermula 1 Februari ini.
“Perjawatan tetap masih wujud tetapi dalam tempoh interim ini hanya dilantik sebagai kontrak sebelum dilantik secara tetap menerusi kaedah baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang akan dimuktamadkan kelak.
“Situasi semasa ini tidak melibatkan lantikan tetap sebelum ini dan tidak seperti kefahaman orang ramai bahawa lantikan baharu kelak hanya diberikan status kontrak sahaja,” katanya.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.
Beliau berkata, bagi penjawat awam sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas, sementara penjawat awam baharu itu kelak akan membuat caruman menerusi KWSP. – 25 Januari, 2024