KUALA LUMPUR – Kakak kepada Bella, Norisham Samsusah, 36, mengakui anak-anaknya masih sukar menerima pemergian ibu saudara kesayangan mereka itu.
Menurut Norisham, anak-anaknya amat rapat dengan Bella atau nama sebenarnya, Mila Sharmila Samsusah, 32, yang dipanggil mami.
Malah katanya, Bella juga menganggap anak-anaknya itu seperti anak sendiri.
“Sehingga hari ini anak-anak saya masih tak percaya mami (panggilan anak Norisham kepada Bella) dah tak ada.
“Seminggu sebelum Bella hilang, kami masih bergurau-gurau, sakat-menyakat antara satu sama lain. Kalau saya marah anak-anak saya, biasa Bellalah yang akan pujuk,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Norisham berkata, kebanyakan rakan Bella mengenali anak-anaknya kerana sering dibawa keluar bersama-sama.
“Bella rajin bawa jalan-jalan, pergi tengok wayang. Kadang kalau kawan-kawan Bella ajak pergi makan pun mereka (anak) ikut. Saya pasti kawan-kawan Bella semua kenal anak-anak saya.
“Saya ada baca komen status kat handphone (telefon bimbit) Bella, ada kawan dia chat ‘mak saudara yang baik’. Anak dia anak saya dan anak saya juga anak dia,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan salah seorang anak Norisham iaitu Muhammad Daiyan Aimar Fairuzizan, 10, menangis teresak-esak menyaksikan pengebumian Bella, petang semalam.
Muhammad Daiyan yang dijaga Bella sejak kanak-kanak itu kecil, terpaksa dipegang dan ditenangkan ahli keluarga ketika menabur bunga di pusara Bella yang dipanggilnya mami sebaik selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Banang Jaya, Jalan Tanjung Laboh, petang semalam.
Kanak-kanak itu berkata, sepanjang kehilangan wanita yang dianggap ibu kandungnya itu, dia kebingungan dan bimbang dengan keselamatannya.
“Sejak mami hilang, saya tidak pernah berhenti berdoa memohon mami selamat ditemui. Saya rindukannya dan tidak pernah berpisah lama dengan mami sejak kecil. Saya mahu berjumpanya tetapi akhirnya kecewa apabila dimaklumkan mami mati dibunuh.
“Mami jaga saya penuh kasih sayang, tidak pernah sesekali memukul saya. Apa saja yang minta, pasti mami tunaikan, tetapi kenapa ada orang bertindak begitu terhadapnya sampai saya kehilangan mami,” katanya.
Semalam, teman lelaki Bella, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Batu Pahat, atas pertuduhan membunuh wanita itu.
Lelaki itu adalah suspek utama pembunuhan Bella selepas dia memandu arah polis ke lokasi penemuan rangka wanita itu di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, pada petang Jumaat lalu.
Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, Sabtu lalu, mengesahkan rangka itu milik Bella kerana ia sepadan dengan sampel diambil daripada ibu dan kakaknya. – 25 Januari, 2024