KUALA LUMPUR – Sokongan terbuka ditunjukkan enam Ahli Parlimen pembangkang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi isyarat Kerajaan Perpaduan berada di landasan yang betul dalam memperjuangkan isu rakyat dan negara.
Ahli Majlis Pimpinan PKR Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, sokongan terbaru daripada Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi (Bersatu) sekali gus menafikan dakwaan jahat pembangkang bahawa Kerajaan Perpaduan bakal tumbang dalam masa terdekat.
“Syabas dan tahniah kepada Zulkafperi. Selamat datang ke Kerajaan Madani. Situasi semakin ramai pemimpin pembangkang menunjukkan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri memberi gambaran jelas apa diperkatakan pembangkang bahawa kerajaan akan tumbang, langkah itu dan langkah ini… semua itu tak boleh pakai.
“Kepimpinan yang ditunjukkan Perdana Menteri dalam menggagaskan Malaysia Madani sebenarnya diterima seluruh pimpinan termasuk wakil pembangkang dan rakyat,” katanya kepada Scoop.
Semalam, Zulkafperi mengisytiharkan sokongan kepada Anwar, menjadikannya wakil rakyat pembangkang keenam bertindak demikian selepas Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz (Bukit Gantang).
Zulkafperi berkata, pengisytiharan sokongan tersebut dibuat sepenuh hati demi kepentingan penduduk Tanjong Karang tanpa sebarang paksaan dan tekanan daripada mana-mana pihak.
Mengulas lanjut, Mohd Yahya yang juga bekas calon PKR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang memberi jaminan beberapa wakil rakyat pembangkang akan mengikut jejak langkah Zulkafperi menjelang Ramadan nanti.
“Saya cukup pasti sebelum puasa, akan ada lagi Ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan kepada kerajaan.
“Tetapi jumlah bilangan (wakil rakyat) itu saya tak boleh confirmkan (sahkan) lagi,” katanya yang dikenali sebagai Pak Ya.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada Ogos tahun lalu, Mohd Yahya menentang calon Perikatan Nasional (PN), Nurul Syazwani yang juga anak kepada Tan Sri Noh Omar dalam pertembungan dua penjuru di DUN Permatang.
Bagaimanapun, Nurul Syazwani memenangi kerusi itu selepas memperoleh majoriti 1,728 undi selepas mendapat undi 12,850 manakala Mohd Yahya memperoleh 11,122 undi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kerusi DUN berkenaan disandang Rozana Zainal Abidin dari PKR yang memperoleh majoriti 1,158 undi selepas menewaskan Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN) dan Muhammad Jafaruddin Sheikh Daud (PAS). – 25 Januari, 2024