KUALA LUMPUR — Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (MPS) memutuskan kemudahan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) adalah dibenarkan dengan syarat kemudahan itu distrukturkan menggunakan kontrak syariah yang bersesuaian bagi memelihara dan kewajipan pihak yang berkontrak.
Keputusan ini berkuat kuasa serta-merta susulan mesyuarat yang dibuat oleh MPS hari ini, mengikut Seksyen 52 Akta Bank Negara Malaysia 2009.
“MPS memutuskan BNPL yang melibatkan transaksi pembelian emas dan perak (barangan ribawi) yang mempunyai ‘illah wang, mesti dilakukan secara lani (serta-merta),” kata Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataannya di sini hari ini.
Selaras dengan maqasid syariah, MPS menggalakkan penyedia perkhidmatan kewangan Islam untuk menerapkan amalan bertanggungjawab dalam menilai kemampuan pengguna dengan mengadakan proses penilaian kredit secara menyeluruh.
“Ia bagi menggalakkan penggunakan kemudahan BNPL secara berhemah dan bertanggungjawab, serta memastikan kesejahteraan kewangan pengguna tidak terjejas,’’ kata.
BNPL membolehkan pengguna membeli barangan atau perkhidmatan daripada peniaga dengan pilihan untuk menangguhkan pembayaran dan/atau membahagikan harga belian kepada ansuran bulanan.
Penyedia BNPL biasanya membuat pendahuluan penuh atau separa kepada peniaga bagi pihak pengguna.
“Pengguna seterusnya akan membuat pembayaran kepada penyedia BNPL berdasarkan terma dan syarat yang dipersetujui dan berdasarkan sudut syariah, BNPL boleh dianggap sebagai lanjutan kontrak jualan tradisional sedia ada yang dibenarkan dalam Islam, dengan syarat transaksi penjualan dijalankan selaras dengan prinsip syariah,’’ katanya.
Kemudahan ini terpakai ke atas institusi kewangan iaitu bank-bank Islam berlesen menurut Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI) dan yang menjalankan perniagaan perbankan digital Islam.
“Selain itu ia juga melibatkan bank berlesen dan bank pelaburan berlesen yang diluluskan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK) untuk menjalankan perniagaan kewangan Islam; institusi ditetapkan yang diluluskan di bawah Seksyen 33B(1) Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (AIKP) untuk menjalankan perniagaan kewangan Islam,’’ katanya.
BNM berkata, keputusan MPS ini memberi penjelasan berhubung pertimbangan utama syariah yang mesti dipatuhi bagi yang berhasrat untuk menawarkan BNPL patuh syariah. – 24 Januari, 2024