KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Thailand mati akibat ditembak dipercayai oleh sekumpulan lelaki disyaki warga Indonesia di atas bot, di perairan Pantai Remis, pada jam 12.20 tengah hari semalam.
Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan daripada pemilik bot terbabit mengenai kejadian berkenaan.
“Pengadu telah dimaklumkan oleh pekerjanya melalui alat walkie talkie dan mereka mengambil masa untuk perjalanan ke pelantar ikan di Pantai Remis.
“Mangsa telah meninggal dunia dengan kesan tembakan di kepala dan mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, untuk bedah siasat,’’ katanya di sini hari ini.
Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes tembak ini untuk menghubungi pegawainya.- 24 Januari, 2024