SHAH ALAM — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 1 Februari bagi pendengaran permohonan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk memindahkan perbicaraan kes dihadapinya.
Sanusi yang berdepan tuduhan menghasut menerusi ceramah politik berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan sebelum ini memohon perbicaraan kesnya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi di sini.
Dalam prosiding hari ini, peguam Sanusi, Hasshahari Johari Mawi memaklumkan pihak pembelaan telah menerima jawapan daripada pendakwaan selaku responden melalui emel semalam.
“Pihak kami akan memberi jawapan balas kepada afidavit yang dikemukakan pihak responden itu,” katanya.
Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud mengesahkan sudah memberi jawapan terhadap permohonan yang dikemukakan pihak Sanusi.
Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud mengesahkan sudah memberi jawapan terhadap permohonan yang dikemukakan Sanusi, yang antara lain menyatakan pemohon gagal mengemukakan sebab munasabah bagi memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.
Malah ia tidak melibatkan persoalan undang-undang yang sukar, kompleks atau luar biasa yang memerlukan ia dibicarakan di Mahkamah Tinggi, lebih-lebih lagi ia telah ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Sesyen.
“Terdapat pelbagai nas undang-undang yang telah diputuskan oleh mahkamah atasan mengenai isu di bawah Akta Hasutan 1948 [Akta 15).
“Hakim Mahkamah Sesyen yang bijaksana adalah kompeten dan berwibawa untuk mengendalikan perbicaraan jenayah bagi kes-kes yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen, sepertimana kes yang dipertuduhkan terhadap pemohon di bawah Akta 15.
“Saya menegaskan bahawa pemohon gagal mengemukakan apa-apa sebab yang munasabah untuk mahkamah yang mulia ini mengguna pakai budi bicara menurut seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah bagi memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi,” katanya.
Pada 11 Januari lalu, Sanusi telah memfailkan permohonan untuk memindahkan perbicaraan kesnya dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi.
Menteri Besar Kedah itu turut meminta diberi kebenaran penggantungan perbicaraan di Mahkamah Sesyen Selayang hingga permohonan pemindahan kes diputuskan Mahkamah Tinggi.
Selepas mendengar makluman kedua-dua pihak, Hakim Datuk Aslam Zainuddin memerintahkan supaya pihak pemohon membalas jawapan afidavit responden dalam tempoh 14 hari iaitu sebelum atau pada 29 Januari.
“Mahkamah menetapkan 1 Februari ini bagi pendengaran permohonan pemohon,” katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Sesyen menetapkan 5, 8, 9, 12, 13, 15, 16, 19, 22, dan 23 Februari ini bagi perbicaraan kes Sanusi.
Pada 18 Januari lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Nor Rajiah Mat Zin, menetapkan 2 Februari ini bagi keputusan permohonan pihak pendakwaan untuk menggantung prosiding perbicaraan berkenaan.
“Tertuduh (Muhammad Sanusi) dikecualikan kehadiran pada tarikh berkenaan, manakala ada tambahan tarikh bicara pada 11, 15 dan 18 Mac.
“Bicara pada 12 Februari pula dilapangkan kerana cuti umum ganti bagi Tahun Baru Cina,” katanya – 24 Januari, 2024