KUALA LUMPUR — Mahkamah Majistret Batu Pahat menjadi tumpuan ramai pagi ini terutama bagi mereka yang ingin menyaksikan tertuduh kes bunuh ibu tunggal, Mila Sharmilah Samsusah atau Bella dibawa ke muka pengadilan.
Ramai yang menanti di luar bangunan mahkamah semata-mata ingin melihat rupa tertuduh, apatah lagi kes ini mendapat liputan meluas media selepas Bella sebelum ini dilaporkan hilang.
Malah ada yang membuat siaran langsung dari mahkamah, namun difahamkan diminta keluar oleh pihak berkuasa. Ada yang membawa poster bertulis ‘Keadilan untuk Bella’.
Turut kelihatan adalah ibu Bella, Noraini Salleh, 55 dan kakaknya, Norhisham, 36 tahun.
Tertuduh, Mohammad Haikal Mahfuz, 25, yang juga bekas posmen, tiba pada jam 8.20 pagi ke mahkamah dengan kawalan ketat daripada polis.
Mengikut pertuduhan, Haikal didakwa membunuh Mila Sharmilah antara 11 malam 14 Disember hingga 5.30 pagi 15 Disember 2023.
Perbuatan itu didakwa dilakukan lelaki itu di antara Jalan Kelapa Bali, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, Kampung Parit Besar dan sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Jalan Besar, Tongkang Pechah di sini.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh diwakili peguam, Syahril Anuar.
Mahkamah menetapkan 19 Februari depan sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Semalam, polis mengesahkan bahawa rangka yang ditemui di sebuah rumah terbiar di Tongkang Pechah, Batu Pahat adalah milik Bella, 32, yang juga ibu tunggal anak dua.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima laporan analisis DNA sampel patologi yang dihantar ke Jabatan Kimia Johor Ahad lepas dan mendapati ia sepadan dengan sampel yang diambil daripada ibu dan kakak kepada Bella.
Kes kehilangan Bella dilaporkan media apabila dia tidak pulang ke rumah selepas memberitahu mahu ke dobi di Simpang Rantai, Batu Pahat dan rakaman CCTV menunjukkan wanita itu keluar ke pusat cucian bersama teman lelakinya.
Selepas Bella gagal dihubungi, keluarganya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat dan pihak polis menghebahkan kes itu kepada umum, termasuk menerusi media sosial.
Polis kemudiannya turut menahan teman lelaki Bella berusia 24 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan turut menahan dua lagi individu yang dipercayai ada kaitan dengan kehilangan Bella bagi membantu siasatan. – 24 Januari, 2024