PUTRAJAYA — Tiga warga Bangladesh telah ditahan oleh polis selepas didakwa menceroboh sebuah unit pangsapuri di Puchong, dekat sini semalam.
Mereka, yang berusia antara 21 hingga 30 tahun itu telah ditahan pada 9 malam di rumah berkenaan dan akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
“Warga Bangladesh itu mengaku menduduki rumah berkenaan sejak dua bulan lalu, dengan merosakkan kunci pintu dan menggantikannya dengan yang baharu,’’ katanya kepada media.
Terdahulu, satu laporan polis telah dibuat oleh pemilik rumah tersebut di Balai Polis Ayer Tawar Putih, Kemanan, Terengganu dan dijadikan laporan kepada Balai Polis Putra Perdana, Puchong.
Ahad lalu, seorang lelaki terkejut apabila mendapati rumah kenalannya di Puchong yang dibiarkan kosong sejak 10 tahun lalu telah diceroboh dan didiami warga asing.
Menurut akaun media sosialnya, Srilabu Kedah berkata, perkara itu diketahui selepas kenalannya meminta dia menjual unit pangsapuri terbabit. – 23 Januari, 2024