Sanggup beratur panjang demi manisan viral, ‘ada sampai bersila, bawa bayi’

Situasi didakwa berlaku di sebuah kedai menjual manisan popular di Selayang, menarik perhatian netizen yang memberikan pelbagai pandangan

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir orang yang sanggup beratur panjang dan dalam tempoh lama, semata-mata untuk membeli makanan atau minuman viral bukan sesuatu yang baru.

Walaupun tindakan itu sering mencetuskan perasaan pelik dan ‘dipertikai’ segelintir orang kerana mereka sanggup berkorban masa serta tenaga untuk berbaris mendapatkannya, situasi terbabit masih berlaku.

Terkini, tular video memaparkan pelanggan tegar beratur panjang yang didakwa hanya untuk menikmati manisan di sebuah premis makanan popular dikatakan terletak berhampiran Hospital Selayang.

Video berdurasi 15 saat yang tular itu memaparkan terdapat antara mereka membawa kerusi mudah alih atau ‘portable chair’, manakala segelintir duduk bersila di atas jalan ketika menunggu giliran untuk membeli makanan berkenaan.

Lebih mencetuskan pertikaian apabila kelihatan kereta sorong bayi, menyebabkan netizen mempersoalkan bagaimana ibu bapa boleh membawa anak dalam waktu siang ketika panas.

“Demi nak dapatkan makanan viral sanggup beratur berjam-jam? Bawah terik matahari, tapi bila kat hospital lambat sikit ada yang terus viral sana viral sini,” kata seorang individu yang berkongsi video itu.

Komen berkenaan dipersetujui netizen lain yang mengatakan apabila berbaris panjang untuk perkara disukai, seseorang itu boleh pula tidak merungut, sebaliknya ketika mendapatkan perkhidmatan di premis kerajaan, tidak boleh bersabar.

“Bila beratur lama sikit kat hospital RM1, bukan main lagi sampai nak viral-viral, oh Malaysiaku,” kata netizen terbabit.

Ada juga segelintir pengguna meluahkan rasa pelik dengan sikap individu yang sanggup beratur panjang dan lama untuk membeli makanan dan minuman diingini.

“Sampai ke hari ini, tak pernah sekali pun aku beratur untuk makanan viral,” tulis Diana.

“Lama faham dah, generasi sekarang beza dengan saya generasi X ni. Kalau saya tidaklah, makan asal boleh kenyang. Hahahah,” komen Sir.

“Diorang ni satu hari ada berapa jam? Aku ada 24 jam ni pun rasa tak cukup masa. Mana datang masa diorang nak pacak beratur lelama (lama-lama) macam tu,” soal seorang pengguna.

“Idokkk lee teman ndok nunggu nyeee (tidaklah saya nak menunggu),” kata individu lain.

“Kadang terfikir, betul ke rakyat kian tertekan sebab kos hidup makin meningkat? Kalau betul tertekan, kenapa masih sanggup beratur macam ni demi makanan viral yang harganya bukanlah murah?” Soal seorang pengguna.

“Ni tahap gila beratuq (beratur),” menurut seorang netizen.

Bagaimanapun, ada individu yang meminta netizen tidak mengecam, menghakimi dan mempertikai tindakan pengunjung berkenaan kerana ia hak masing-masing.

“Duit masing-masing bang. Biarlah dia, bangga gak (juga) lah dengan pengusaha yang boleh attract (menarik) pelanggan ramai-ramai ini. And also (Dan juga) bangga tengok pelanggan beratur panjang-panjang sebab nak rasa dan nak support biz (sokong bisnes) itu,” kata Rahmat.

“Kedai ni legit manisan dia sejak 2021, the year received their food as a birthday treat from a friend (pernah dapat makanan kedai ni sebagai hadiah ulang tahun kelahiran daripada seorang rakan yang belanja saya), tapi tak sure (pasti) kali ni beratur sebab menu yang mana (kalau salah kedai maaflah sebab nampak ada nama kedai),” respons seorang individu. – 23 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related