PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengadakan pilihan raya umum (PRU) dalam masa terdekat.
Menurut Dr Mahathir, ini bagi membuktikan Anwar selaku Perdana Menteri mempunyai sokongan kuat daripada rakyat.
Sebagai respons terhadap siasatan melibatkan ahli keluarga dan sekutu rapatnya, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan beliau tidak mungkin dilantik sebagai Perdana Menteri sebanyak dua kali jika telah melakukan apa jua kesalahan.
Dalam sidang media khas di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini, Dr Mahathir yang turut ditemani peguam, Mohd Rafique Rashid Ali dan Mohamed Haniff Khatri Abdullah, mengetengahkan kejayaannya dalam pilihan raya.
“Pada masa saya, saya memenangi setiap pilihan raya dengan majoriti dua pertiga. Saya berdepan lima pilihan raya dan memperoleh majoriti dua pertiga. Rakyat mempunyai peluang untuk menyingkirkan saya, tetapi mereka memilih untuk tidak melakukannya.
“Jika saya telah menyalahgunakan kuasa, jawatan, saya tidak akan memenangi pilihan raya.
“Oleh itu saya cabar Anwar untuk mengadakan pilihan raya umum. Sama ada dia berani atau tidak, kita lihat apa yang rakyat akan kata,” katanya.
PRU akan datang berkemungkinan diadakan pada 2027 dan Anwar pada 11 Januari lalu menegaskan pihak pembangkang tidak mempunyai kekuatan untuk meneruskan usaha menjatuhkan Kerajaan Persekutuan sedia ada, sebaliknya hanya terus memainkan propaganda untuk menipu penyokong mereka.
Anwar berkata, ini kerana setelah setahun pentadbiran kerajaan Madani, masih tiada sebarang undi tidak percaya yang dibawa mana-mana ke Parlimen.
Dr. Mahathir, 98, telah berkhidmat sebagai Perdana Menteri dua kali, dari 1981 hingga 2003 dan dari 2018 hingga 2020.
Bagaimanapun beliau tewas dalam PRU 2022 apabila hanya menerima 4,566 undi.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah memanggil ahli perniagaan, Mirzan Mahathir ke ibu pejabatnya di Putrajaya untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Satu perintah notis telah disampaikan kepada beliau di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.
Perintah itu mengkehendaki beliau mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut.
Menurut kenyataan SPRM, perintah itu adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin juga disiasat SPRM susulan pendedahan Pandora Papers. – 22 Januari, 2024