KUALA LUMPUR – Semua penjawat awam diminta mengemas kini maklumat dan data dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) selewat-lewatnya pada 15 Februari ini.
Perkara itu dinyatakan dalam surat edaran bertajuk ‘Pengemaskinian Maklumat dan Data Semua Penjawat Awam dalam PADU’ dikeluarkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz yang dikongsikan di Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini.
Surat edaran bertarikh 17 Januari lalu itu ditujukan kepada semua ketua jabatan Persekutuan, setiausaha kerajaan negeri, ketua pengurusan pihak berkuasa berkanun Persekutuan, ketua pengurusan pihak berkuasa berkanun negeri dan ketua pengurusan pihak berkuasa tempatan.
“Sehubungan itu, semua pihak berkaitan (seperti di atas) adalah dimohon untuk memastikan seluruh warga kementerian dan agensi melakukan pendaftaran dan pengemaskinian di portal PADU, melalui pautan https://padu.gov.my.
“Ia selaras dengan permintaan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) semasa mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada 14 Januari 2024 supaya semua penjawat awam, mengemas kini maklumat dan data dalam sistem PADU dengan kadar segera, selewat-lewatnya pada 15 Februari 2024,” katanya.
Menurutnya, Kementerian Ekonomi sudah diberi tanggungjawab untuk memantau dan memastikan kelancaran proses pendaftaran terbabit.
Sebarang pertanyaan berkaitan PADU, katanya, boleh dikemukakan kepada:
Pengarah Bahagian Ekonomi Makro
Kementerian Ekonomi
Datuk Dr Suhana Md Saleh
[email protected] atau menghubungi 03-80902281, dan/atau
Puan Noraini Ahmad
[email protected] atau menghubungi 03-80902283.
PADU dilancarkan Perdana Menteri pada 2 Januari lalu dan dibuka secara langsung mulai hari sama, selepas hampir enam bulan ia dibangunkan serta melalui beberapa pengujian.
Sistem itu akan dibuka sehingga 31 Mac depan kepada pengguna bagi membolehkan pengemaskinian maklumat individu.
Pengemaskinian itu penting bagi membolehkan kerajaan mempunyai maklumat terkini dan memastikan tiada individu tercicir daripada menerima bantuan selayaknya.
Sistem PADU dilaksanakan secara dalaman oleh Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) tanpa membabitkan perunding luar, bagi membina kepakaran serta keupayaan penjawat awam, selain memastikan keselamatan data terjamin.
Maklumat itu meliputi individu dan isi rumah, antaranya berkaitan asas demografi, pendidikan, pekerjaan, pendapatan, komitmen dan bantuan diterima. – 22 Januari, 2024