Demi terus pejuang Palestin, desak gencatan senjata, Malaysia sertai debat di AS esok

Menteri Luar akan mengesyorkan supaya Palestin secara rasminya diiktiraf sebagai negara anggota PBB dengan keahlian penuh untuk memajukan perjuangan hak mutlak mereka

10:43 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Malaysia terus menunjukkan solidariti terhadap Palestin dengan usaha terbarunya menyaksikan delegasi negara ini ke Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung Situasi di Timur Tengah, termasuk isu Palestin di New York, Amerika Syarikat esok.

Wisma Putra memaklumkan, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengetuai delegasi itu akan mengulangi desakan Malaysia untuk gencatan senjata serta-merta.

Katanya, Mohamad juga akan mendesak supaya dilaksanakan tindakan menentang perpindahan berterusan rakyat Palestin secara paksa, selain menegaskan kepentingan penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa sebarang halangan untuk menangani pembinasaan kemanusiaan yang sedang berlaku di Semenanjung Gaza.

“Malaysia akan mendesak supaya Israel bertanggungjawab ke atas tindakannya yang terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa.

“Menteri Luar akan mengesyorkan supaya Palestin secara rasminya diiktiraf sebagai negara anggota PBB dengan keahlian penuh untuk memajukan perjuangan hak mutlak mereka.

“Ia bagi menentukan nasib sendiri, kemerdekaan dan kedaulatan yang lama dinafikan, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, Mohamad dijadual bertemu dengan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dan menyatakan sokongan Malaysia kepada seruan terkini beliau untuk bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza dengan cepat, selamat, menyeluruh, berterusan serta tanpa halangan.

Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengetuai delegasi Malaysia ke Debat Terbuka Peringkat Menteri PBB di New York esok akan mengulangi pendirian negara mendesak gencatan senjata serta-merta di bumi Gaza. – Gambar Scoop, 22 Januari, 2024

“Malaysia juga menyatakan sokongan kepada Sigrid Kaag dalam menunaikan tanggungjawab beliau sebagai Koordinator Kanan Kemanusiaan dan Pembinaan Semula Gaza yang baharu.

“Malaysia memperakui usaha di peringkat multilateral yang dilakukan untuk memberi tumpuan berterusan kepada situasi di Palestin,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, sebagai mendukung suara rakyat Malaysia untuk Palestin, Mohamad juga akan menyerahkan poskad khas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anggota Kabinet kepada Antonio yang mana menyeru PBB menerima Palestin sebagai negara anggota pertubuhan berkenaan dengan keahlian penuh, selain menggesa gencatan senjata serta-merta.

Di samping usaha diplomatik, katanya, Malaysia terbabit dalam tindakan undang-undang di peringkat antarabangsa berhubung isu Palestin.

Justeru, Mohamad juga, katanya, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Pendengaran Awam bagi mendapatkan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai kesan perundangan yang timbul akibat daripada polisi dan pencabulan berterusan oleh Israel terhadap Wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur yang akan diadakan di Peace Palace, The Hague, Belanda, bermula 19 Februari depan.

Sejak Israel menyerang Gaza pada 7 Oktober lalu, angka kematian sehingga kini sudah melepasi 22,000 dengan kebanyakannya adalah kanak-kanak serta wanita. – Gambar UNRWA, 22 Januari, 2024

“Malaysia dijangka menyampaikan kenyataan lisan pada 22 Februari ini. Malaysia sebelum ini mengemukakan kenyataan bertulis pada 25 Julai 2023 kepada ICJ yang memberi fokus kepada pencabulan hak rakyat Palestin untuk penentuan nasib sendiri (self-determination) oleh Israel.

“Proses bagi mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ adalah susulan daripada Resolusi 77/247 Perhimpunan Agung PBB yang diterima pakai pada 30 Disember 2022 dan ditaja bersama oleh Malaysia,” katanya.

Menerusi kenyataan itu, Wisma Putra menegaskan, Malaysia menyokong sepenuhnya tindakan undang-undang dikemukakan Afrika Selatan terhadap Israel berkaitan pencabulan terhadap tanggungjawabnya di bawah Konvensyen 1948, membabitkan Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.

“Malaysia sedang meneroka opsyen tersedia untuk menyokong kes ini dengan lebih lanjut.

“Malaysia bertekad untuk menggunakan segala platform untuk menyokong Palestin dan menamatkan kekejaman di Gaza, seterusnya membawa Israel ke muka pengadilan,” katanya. – 22 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Petros accuses Petronas of strong-arm tactics in blocking Sarawak’s gas rights

Court documents reveal claims of dominance abuse and interference with the state’s sole gas aggregator role

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Life after loss: a family’s journey of grief and love post-2004 Indian Ocean tsunami

20 years after the post-Christmas tsunami hit Penang and other areas, Alan Keevan shares his account during and after the tragedy where he lost his beloved mother Sharon

Related