Dari sawah ke korporat, berapa besar ‘periuk nasi’ Syed Mokhtar?

Kebangkitan dermawan ini sebagai mogul perniagaan di Malaysia tidak sunyi daripada kontroversi

10:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ketika Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada tuduhan salah guna kuasa, taikun Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary turut menjadi tumpuan.

Tuduhan yang digugurkan itu melibatkan antaranya menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu untuk mendapatkan RM232 juta, termasuk kepada Bukhary Equity Sdn Bhd milik Syed Mokhtar, syarikat yang mempunyai kaitan dengan Muhyiddin dan bekas perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mahkamah Rayuan menetapkan 28 dan 29 Februari ini bagi mendengar rayuan terhadap keputusan melepas dan membebaskan Muhyiddin.

Bagaimanapun, terdapat tiga lagi pertuduhan penggubahan wang haram yang masih berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, dua daripadanya turut menamakan Bukhary Equity.

Dengan anggaran nilai bersih AS$1.5 bilion (RM7 bilion), nama Syed Mokhtar meningkat dalam arena korporat dan keterlibatannya dalam saga Muhyiddin menarik minat ramai.

Daripada pasaran tempatan kepada kontrak kerajaan
Perjalanan hidup Syed Mokhtar bermula di Alor Setar, Kedah, di mana beliau dengan aktif dalam perniagaan keluarganya, menjual barangan di pasar tempatan serta membantu perusahaan lembu.

Pada 1970-an, beliau menceburi bidang pengangkutan dan mendapat lesen perdagangan beras untuk syarikatnya, Shah Enterprises Sdn. Bhd.

Langkah berkenaan membuka pintu kepada kontrak kerajaan yang menguntungkan, termasuk membekalkan beras kepada entiti terkenal seperti Felda, Mara, Pernas Edar dan Sergam Bhd, di mana Muhyiddin pernah menjadi pengarah urusan dari 1974 ke 1977.

Selain industri padi, Syed Mokhtar mempelbagaikan cabang perniagaan menerusi Amtek Holdings, dengan membekalkan seragam tentera kepada kerajaan.

Era Mahathir
Kekayaan Syed Mokhtar melonjak semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1990-an, dengan mendapat inisiatif daripada penswastaan kerajaan.

Menyifatkan Mahathir sebagai mentor menerusi autobiografinya, Syed Mokhtar telah mengorak lebih jauh dalam bidang perniagaan sepanjang tempoh tersebut.

Kekayaan Syed Mokhtar melonjak semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1990-an, dengan mendapat inisiatif daripada penswastaan kerajaan – Gambar Finance Twitter, 22 Januari, 2024

Beliau membeli 19.9% saham dalam Malaysia Mining Corp. (MMC) pada 2001, diikuti pengambilalihan Pernas International Holdings Bhd, kini dikenali Tradewinds Corporation Berhad, menerusi Restu Jernih Sdn Bhd pada tahun berikutnya.

Pada 2005, beliau tertarik dengan DRB-Hicom, akhirnya menggunakannya untuk membeli Proton Holdings tujuh tahun kemudian.

Monopoli Mokhtar
Bagaimanapun, kebangkitan dermawan itu sebagai mogul perniagaan di Malaysia tidak sunyi daripada kontroversi.

Menerusi syarikatnya yang lain, Syed Mokhtar memiliki Padiberas Nasional Bhd (Bernas) yang memonopoli import dan pengedaran beras.

Bernas juga dilaporkan membayar dividen hampir RM1 bilion kepada Tradewinds Group, dalam tempoh tiga tahun dari 2020 ke 2022.

Tidak lama selepas mengambil alih kerajaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengkritik Syed Mokhtar berhubung monopoli dalam pengimportan beras.

Malah sebelum ini, ketika menjadi Ketua Pembangkang, Anwar turut mengkritik penyahsenaraian Bernas daripada pasaran saham pada 2013, apabila taikun itu memulakan langkah penswastaan Bernas.

Pada Jun 2018, di bawah Pakatan Harapan yang membentuk kerajaan selepas memenangi pilihan raya umum pada tahun itu, Kabinet memutuskan untuk menamatkan monopoli import beras.

Kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2018 bersetuju untuk menamatkan monopoli import beras, namun pada pentadbiran di bawah Muhyiddin pada 2020 bersetuju melanjutkan penswastaan Bernas selama 10 tahun sehingga 2031 untuk mengimport dan mengedar beras di dalam negara – Gambar Scoop dan Bernama, 22 Januari, 2024

Bagaimanapun selepas berlaku perubahan kerajaan susulan Langkah Sheraton pada Februari 2020, pentadbiran di bawah Muhyiddin ketika itu bersetuju untuk melanjutkan penswastaan Bernas selama 10 tahun sehingga 2031 bagi mengimport dan mengedar beras di dalam negara.

Sebagai membalas kritikan Anwar setelah beliau menjadi Perdana Menteri, Syed Mokhtar bersetuju memperuntukkan RM60 juta untuk menyokong pesawah tempatan.

Di luar industri beras, pertubuhan kebajikannya, Yayasan Al-Bukhary, telah terbabit dalam perbicaraan rasuah Muhyiddin.

Tahun lepas, Muhyiddin telah disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pengecualian cukai kepada Yayasan terbabit.

Muhyiddin menjelaskan bahawa Syed Mokhtar yang datang kepadanya dan merayu mengenai pembatalan pengecualian cukai.

Muhyiddin didakwa atas tuduhan penggubahan wang haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, dengan wang itu didepositkan ke dalam akaun CIMB pada 2021 dan 2022.

Tuduhan ketiga menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang RM5 juta. Muhyiddin memohon untuk mengetepikan pertuduhan ini di Mahkamah Sesyen. – 22 Januari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Related