KUALA LUMPUR – Ada jemaah yang terpaksa bergolok gadai mengumpul wang, berniaga kecil-kecilan, menoreh getah, menjual kuih dan sebagainya namun akhirnya menjadi mangsa penipuan syarikat pengendali umrah.
Mangsa-mangsa ini yang memerah keringat, bersusah payah menyimpan wang, sudah pastinya mahu tahu kemana perginya wang mereka dan betapa hati mereka luluh kerana hasrat untuk ke tanah suci sejak sekian lama, tidak kesampaian.
Kekecewaan ini diluahkan oleh mangsa penipuan ini, yang terpaksa ‘berputih mata’, bukan hanya tidak dapat menjejak kaki ke Mekah, wang juga lesap begitu sahaja.
Salah seorang mangsa, Saadiah A Majid, 55, ketika ditemui Scoop berkata, kebanyakan jemaah yang ditipu syarikat terbabit bukan semuanya daripada kalangan orang berada sebaliknya ramai adalah golongan B40.
“Ada yang simpan duit dengan berbagai cara, jual kuih, menoreh getah, niaga kecil-kecilan, kemudian dengan senang dan mudah syarikat ini memperdaya kami dengan bermacam alasan, masalah di Arab Saudi, tiket penerbangan naik harga, lesen mereka digantung Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).
“Kami cuma hendak tahu ke mana perginya duit kami, mereka tidak terbangkan kami ke sana, tidak beli tiket, tidak tempah hotel, tapi mana pergi duit kami, itu yang kami pelik.
“Jadi sekarang ini apa yang semua jemaah inginkan adalah untuk mendapatkan balik duit kami,” katanya tanpa mendedahkan nama agensi umrah terbabit.
Saadiah merupakan salah seorang daripada mangsa penipuan umrah serta haji malah media pada November tahun lalu melaporkan bahawa kegiatan penipuan mula bertambah sejak sempadan negara dibuka luas susulan peralihan daripada era pandemic Covid-19.
Memetik Setiausaha Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan Motac, Roslan Mohammad, berkata, seramai lebih 300,000 jemaah dari Malaysia dicatatkan mengerjakan umrah setiap tahun.
Saadiah yang juga kakitangan awam, memaklumkan dia telah membayar pakej berjumlah RM28,360 kepada syarikat terbabit bagi mengerjakan umrah untuk empat beranak pada 15 Mac tahun lalu.
Malangnya 10 hari sebelum penerbangan itu, mereka tidak mendapat maklumat lanjut daripada syarikat termasuk mengenai tempahan hotel dan sebagainya sekali gus memaksa dia sekeluarga menarik diri dan meminta ganti rugi.
Selepas itu, katanya, syarikat terbabit berjanji membuat bayaran ganti rugi dalam tempoh 14 hari selepas pembatalan berkenaan dengan mengeluarkan cek, namun tiba tarikhnya cek terbabit dibatalkan.
Laporan terhadap syarikat terbabit telah dibuat kepada polis, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dan juga pihak Motac.
“Sejak bulan Mac tahun lalu, jemaah sudah membuat pelbagai laporan kepada pelbagai pihak dengan harapan ada satu tindakan dapat dibuat terhadap syarikat itu.
“Sehingga Oktober lalu, pelbagai laporan dibuat hingga ada yang Rujuk Kepada Agensi Lain atau ‘Refer to Other Agency’ (ROA), bila kita laporkan kepada TTPM, ada pendengaran dan award kemudian dikeluarkan, namun syarikat tetap tidak endah kepada keputusan pihak berkuasa dan tidak membayar pampasan seperti diputuskan.
“Kecewa dengan perkara itu, kami minta bantuan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) untuk bantu semua jemaah yang terkesan dan mereka telah bersuara bagi pihak jemaah yang menuntut keadilan,” katanya.
Saadiah berkata, jemaah yang menjadi mangsa juga bingung kerana mereka tidak tahu kepada siapa hendak meminta pertolongan.
“Siapa yang sepatutnya membela kami? Tiada pembelaan hingga perlu mohon bantuan MHO. Jadi sekarang ini apa yang semua jemaah inginkan adalah untuk mendapatkan balik duit kami,” katanya.
Menurut Saadiah, pihaknya pernah bertanya kepada beberapa peguam yang memaklumkan segala laporan kepada pihak berkuasa sebenarnya tidak boleh menjamin mangsa akan mendapat semula wang mereka.
“Jadi di sini sebagai mangsa kami minta pihak terbabit dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang yang ada
“Kami juga minta bantuan kerajaan untuk sedaya upaya terus membantu mangsa dalam usaha mendapatkan kembali wang mereka
“Kami juga gesa pihak polis untuk percepatkan siasatan mereka dan membawa pihak yang terbabit ke muka pengadilan, kerana sudah agak terlalu lama laporan dibuat jemaah-jemaah,” katanya. – 4 Februari, 2024