Kes Bella: Bedah siasat rangka pagi tadi, 3 lelaki termasuk teman lelaki direman

Perintah reman itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan

5:50 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki direman bagi membantu siasatan kes penemuan rangka manusia di rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, Batu Pahat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, perintah reman itu dikeluarkan terhadap ketiga-tiga suspek bermula hari ini, hingga 27 Januari, bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Bedah siasat ke atas rangka yang ditemui itu sudah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, pagi tadi.

“Sampel patologi daripada Jabatan Forensik HSI juga sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), bagi mengenal pasti identiti si mati,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman dilaporkan berkata, ujian DNA terhadap sampel diambil dari lokasi penemuan rangka itu akan dijalankan secepat mungkin.

Katanya, sampel DNA itu turut diambil daripada ibu dan kakak Bella untuk dianalisa.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada rangka ditemui itu adalah Bella atau individu lain.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman dilaporkan berkata, ujian DNA terhadap sampel diambil dari lokasi penemuan rangka itu akan dijalankan secepat mungkin – Gambar Bernama, 20 Januari, 2024

Difahamkan, ketiga-tiga suspek yang ditahan, termasuk teman lelaki dan bapa saudara teman lelaki Bella itu, dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan rangka tidak sempurna terbabit.

Terdahulu kakak kandung kepada Mila Shamila atau Bella, Norhisham Samsusah, meluahkan kekecewaan dan kesedihannya menerusi coretan di Facebook hari ini, malah sudah melakukan segala yang termampu sebagai usaha mencari bukti untuk mengesan keberadaan adiknya itu.

Dia menganggap segalanya sia-sia kerana merasa seolah-olah ‘teraniaya’.

“Kami tersangat kecewa, selepas 38 hari apa saya dan keluarga dapat, rangka?” luahnya yang mahukan pembelaan sewajarnya untuk Bella, sama ada ditemui masih hidup atau sudah meninggal dunia.

Kes kehilangan Bella, 32, dilaporkan apabila dia tidak pulang ke rumah selepas memberitahu mahu ke dobi di Simpang Rantai, Batu Pahat dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkannya keluar ke pusat cucian itu bersama teman lelaki.

Norhisham Samsusah (kiri) menunjukkan gambar Mira Sharmila yang dilaporkan hilang sejak 14 Disember lalu. – Gambar Facebook Mia Icha, 20 Januari, 2024

Susulan Bella gagal dihubungi, keluarga membuat laporan berhubung kehilangannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat dan pihak polis menghebahkan kes itu kepada umum, termasuk menerusi media sosial.

Polis dilaporkan memanggil tujuh individu untuk membantu siasatan kes kehilangan Bella yang diklasifikasikan sebagai orang hilang, termasuk merekodkan keterangan daripada teman lelakinya.

Kamarul, menerusi sidang media semalam memaklumkan, pihaknya menemui rangka manusia tidak sempurna di sebuah rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah di Batu Pahat.

Rangka itu ditemui pada jam 2 petang semalam, selepas seorang suspek utama kes terbabit membawa pihak polis ke lokasi berkenaan.

Kamarul Zaman berkata, polis menemui cebisan pakaian pada rangka terbabit.

Pengesahan identiti mangsa, tegasnya, termasuk sama ada ia adalah Bella atau sebaliknya, sedang dikenal pasti dan hanya dapat ditentukan kira-kira dua minggu lagi. – 20 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related