Konflik tercetus antara kepimpinan persatuan p-hailing?

Kenyataan bercanggah dalam kalangan pimpinan Penghantar dan dakwaan campur tangan politik mungkin penyebab mogok 'blackout' kurang dapat sambutan

11:10 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Percanggahan kenyataan dibuat kepimpinan sebuah persatuan yang mendakwa mewakili majoriti penunggang p-hailing, menunjukkan bahawa tidak semua mereka memihak kepada mogok ‘blackout’ dianjurkan penunggang penghantaran Grab, minggu ini.

Kenyataan itu dibuat Presiden dan Naib Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) mengenai mogok terbabit, sekali gus mungkin menjadi penyebab mengapa acara berkenaan yang diadakan semalam, hanya disertai 100 penunggang bagi membantah struktur yuran dan bonus baharu.

Pada Khamis lalu, persatuan itu berkata, ia akan kekal bersikap ‘berkecuali’ mengenai perkara berkenaan, tetapi sidang media yang diberikan oleh Naib Presidennya, Abdul Hakim Abdul Rani semasa perhimpunan di luar ibu pejabat Grab Malaysia di Petaling Jaya semalam, menyaksikan sebaliknya.

Malam sebelumnya, iaitu pada petang Khamis, Buletin TV3 memetik Presiden Penghantar, Zulhelmi Mansor sebagai berkata bahawa persatuan itu, tidak akan mengambil bahagian dalam protes diadakan semalam.

Zulhelmi tidak berada di perhimpunan semalam. Sebaliknya, ia didakwa mempunyai unsur politik apabila Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dari Perikatan Nasional (PN) dan beberapa ahli PAS muncul pada perhimpunan itu.

Zulhelmi menafikan beliau ada mengeluarkan kenyataan seperti diterbitkan Buletin TV3 yang merujuk kepada kenyataan Penghantar pada 17 Januari lalu, kononnya persatuan itu menggesa pihak bertanggungjawab meneliti rangka kerja pendapatan bagi pekerja penghantaran.

Ahli Penghantar dalam sebuah perjumpaan Oktober lalu. Kenyataan bercanggah daripada kepimpinan persatuan itu dikatakan antara penyebab mogok yang diadakan semalam kurang mendapat sambutan – Gambar Facebook Penghantar, 20 Januari, 2024

“Bilakah saya pernah mengatakannya? Dari mana Buletin TV3 mendapat maklumat itu?” soalnya ketika dihubungi Scoop.

Hakim juga memberitahu Scoop bahawa Zulhelmi tidak pernah membuat kenyataan sedemikian.

“Ini mungkin kenyataan yang dibuatnya beberapa tahun lalu. Beliau (Zulhelmi) hanya memberitahu saya bahawa beliau tidak pernah membuat kenyataan seperti itu baru-baru ini,” katanya.

Menurut pangkalan data Pendaftar Pertubuhan (RoS), Penghantar merupakan sebuah persatuan kebajikan berdaftar yang berpangkalan di Selangor.

Sementara itu, kemunculan Wan Fayhsal pada perhimpunan itu semalam, memperkukuhkan dakwaan bahawa protes berkenaan bermotifkan politik.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda Bersatu yang juga Ahli Parlimen Machang itu menafikan terbabit dengan penganjuran majlis berkenaan dan menegaskan, beliau menyertai perhimpunan terbabit atas ajakan penunggang.

Lebih-lebih lagi, jumlah kehadiran peserta yang kurang memberangsangkan semalam menimbulkan persoalan, sama ada persatuan itu mempunyai sokongan majoriti penunggang p-hailing negara yang berjumlah puluhan ribu.

Mogok dengan kehadiran kecil peserta untuk menuntut tambang lebih tinggi itu diadakan walaupun Grab Malaysia sudah mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya menyemak semula manfaat diterima golongan pekerja terbabit, termasuk struktur pendapatan dan insentif untuk memberikan pampasan adil kepada penunggang penghantaran serta pemandu p-hailing, terutama bagi pesanan yang menuntut lebih banyak masa dan usaha.

Grab Malaysia juga baru-baru ini memaklumkan, struktur pendapatan baharu akan berkuat kuasa pada 16 Januari, terutama bagi memberi manfaat kepada rakan kongsi penghantaran yang paling aktif.

Ketika tambang asas sudah disemak semula, insentif turut dinaikkan bagi penghantaran jam puncak, pengambilan jarak jauh dan masa menunggu tambahan semasa pengambilan.

Perubahan itu dibuat selepas menerima maklum balas sejak beberapa bulan lalu daripada pekerja p-hailing, dengan mereka akan diberikan insentif lebih tinggi daripada jumlah tambahan daripada tambang, seperti bonus untuk pengambilan jauh, masa menunggu lama dan penghantaran jam puncak.

Setakat suku pertama 2023, 97 peratus pekerja Grab dalam p-hailing di seluruh Asia Tenggara, memperoleh pendapatan melebihi penanda aras gaji minimum di negara masing-masing.

Difahamkan, mereka yang menyertai mogok semalam kebanyakannya terdiri daripada penunggang p-hailing sambilan yang tidak semestinya aktif di platform Grab. – 20 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related