Menyelami ‘empayar’ Mirzan Mahathir di tengah-tengah siasatan SPRM

Graduan Universiti Wharton itu, kini menjadi perhatian selepas namanya didedah dalam Kertas Panama Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ) pada 2016

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Nama Mirzan Mahathir, yang merupakan anak sulung kepada Tun Dr Mahathir Mohamad kini menjadi tumpuan selepas beliau berada di bawah ‘radar’ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Empayar ahli perniagaan berusia 65 tahun yang juga graduan Universiti Wharton itu, kini menjadi perhatian selepas namanya didedah dalam Kertas Panama Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ) pada 2016.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, SPRM memaklumkan pihaknya sedang menyiasat aktiviti perniagaan yang dikaitkan dengan penjualan serta pengambilalihan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Tahun lepas, beberapa syarikat yang dikaitkan dengannya telah disebut dalam saman oleh Dr Mahathir ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dr Mahathir menuduh Anwar memfitnahnya berkaitan kenyataan menyalahgunaan kuasa untuk memperkayakan keluarganya.

Berikut senarai syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan nama beliau, yang diperolehi oleh Scoop.

Kertas Panama menyenaraikan rakyat Malaysia ke-45 terkaya itu sebagai pengarah dan pemegang saham tiga syarikat luar pesisir berdaftar Labuan, dan dikatakan masih aktif ketika ini – Gambar tangkap layar, 20 Januari, 2024

Mirzan dalam Kertas Panama
Kertas Panama adalah pendedahan besar-besaran oleh Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ) mengandungi berjuta-juta rekod kewangan dan undang-undang dari firma undang-undang Panama, Mossack Fonseca, yang menyediakan perkhidmatan untuk penubuhan entiti di kawasan perlindungan cukai di mana akaun tidak dapat dikesan.

Meskipun undang-undang Malaysia – seperti di kebanyakan negara – menyimpan asset di luar pesisir atau menggunakan syarikat cengkerang (shell) untuk menjalankan perniagaan antarabangsa tidak menyalahi undang-undang, namun amalan demikian selalunya dikaitkan dengan jenayah mengelakkan cukai, penipuan dan penggubahan wang haram.

Ini lebih-lebih lagi jika rekod syarikat cengkerang menunjukkan ia tidak kelihatan seperti menjalankan aktiviti perniagaan sebenar, melihat kepada persepsi bahawa entiti tersebut mendapat manfaat daripada struktur tersebut yang menjadi alat mudah untuk menyembunyikan transaksi kewangan.

Dalam kes Mirzan, Kertas Panama menyenaraikan rakyat Malaysia ke-45 terkaya itu sebagai pengarah dan pemegang saham tiga syarikat luar pesisir berdaftar Labuan dan dikatakan masih aktif ketika ini, menurut pemeriksaan dalam talian ke atas data ICIJ.

Syarikat pertama adalah Utara Capital Ltd, yang ditubuhkan pada 19 Ogos 1997, dengan modal saham dibenarkan sebanyak US$15,000, diikuti oleh US$12,000 Crescent Energy Ltd pada 13 Disember, 2003.

Al Sadd Investments Pte Ltd pula memaparkan nama Mirzan sebagai pengarah tunggal dan pemegang sahaja sejak ia ditubuhkan pada 14 Mei, 2008 dengan saham modal yang dibenarkan US$12,000.

Selain tiga entiti ini, nama Mirzan juga muncul sebagai salah satu pemegang saham dalam Sergio International Ltd, sebuah syarikat yang didaftarkan di British Virgin Islands pada 8 Mac, 2002.

Bagaimanapun Sergio dianggap tidak aktif pada 1 November 2006 dan dibubarkan pada tahun sama.

Untuk rekod, wakil daripada syarikat Crescent Capital Sdn Bhd, yang ditubuhkan oleh Mirzan pada 1991, memaklumkan Malaysiakini pada 2016 bahawa dua pemegang saham Sergio pernah menghubunginya antara tahun 2000 hingga 2002 untuk memulakan perniagaan landskap.

Wakil yang enggan dinamakan itu, bagaimanapun, menafikan penglibatan Mirzan dengan Sergio dan memberitahu bahawa syarikat luar pesisir itu tiada kaitan dengan Crescent Capital.

Berdasarkan kepada profail syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang diperolehi Scoop, Mirzan dilantik sebagai pengarah dan pengurus pada 2007 dan terus memegang kedua-dua jawatan berkenaan.

Sementara pemegang saham tunggal syarikat bernilai RM500,000 itu ialah Strategem Sdn Bhd, yang merupakan satu lagi entiti dikaitkan dengan Mirzan, Crescent Capital berdepan dengan masalah kewangan dengan mencatatkan kerugian RM913,448 selepas cukai bagi tahun kewangan 31 Disember, 2022.

Dalam pertanyaan pembelaannya terhadap saman RM150 juta oleh Dr Mahathir, Anwar berkata, bekas Perdana Menteri itu telah mengamalkan kronisme, antaranya dengan menyelamatkan syarikat yang dikaitkan dengan Mirzan – Gambar fail, 20 Januari, 2024

Urusan Mirzan timbul dalam saman Dr Mahathir vs Anwar

Dalam pertanyaan pembelaannya terhadap saman RM150 juta oleh Dr Mahathir, Anwar berkata, bekas Perdana Menteri itu telah mengamalkan kronisme, antaranya, dengan menyelamatkan syarikat yang dikaitkan dengan Mirzan, Konsortium Perkapalan Bhd (KPB) ketika krisis kewangan Asia pada 1997.

Syarikat tersebut, di mana Mirzan merupakan pemegang saham majoriti dan pengarah ketika pasaran saham Asia lumpuh, telah diselamatkan oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Malaysia International Shipping Corporation Bhd (MISC), kata Anwar.

Keadaan ini berlaku ketika kerajaan yang diterajui oleh Mahathir ketika itu berulang kali menegaskan tidak akan memberi bantuan kewangan atau menyelamat mana-mana syarikat tatkala pasaran saham rantau Asia terjejas teruk.

Anwar, yang merupakan Menteri Kewangan ketika itu, juga mendakwa beliau telah menolak permohonan suntikan kewangan daripada KPB pada Julai 1997, namun Dr Mahathir telah mengarahkannya untuk merangka ‘skim khas’ bagi mengagihkan RM2 bilion daripada Perbendaharaan untuk membantu KPB.

Apabila dimaklumkan bahawa cadangan tersebut perlu dibentangkan di Parlimen, Anwar berkata Mahathir berasa kecewa dengan jawapannya dan menekankan ia akan memalukan Mirzan atau dirinya sendiri jika perkara tersebut dibentangkan kepada Parlimen.

Anwar kemudiannya memaklumkan bahawa Tan Sri Mohd Hassan Marican yang ketika itu adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas bahawa Dr Mahathir telah mengarahkan Petronas untuk menyelamatkan PKB.

Pada 6 Mac 1998, Petronas mengumumkan untuk membeli aset perkapalan KPB. Pada hari yang sama, MISC telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Petronas dan KPB.

Menurut transaksi yang dijalankan MoU itu, Anwar berkata KPB menerima sejumlah US$220 juta (RM836 juta), menyebabkan kerugian RM189.78 juta bagi tahun berakhir 31 Disember, 1997, dihapuskan serta-merta.

Ia membuka jalan kepada syarikat itu untuk mencatatkan keuntungan sebanyak RM126.53 juta pada tahun kewangan berikutnya.

Anwar turut menyebut bahawa pemberian kontrak Telekom Malaysia Bhd sebanyak RM214.2 juta kepada Opcom Sdn Bhd menerusi rundingan terus, telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada 2003 apabila Dr Mahathir adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Kontrak oleh GLC untuk membekalkan kabel fiber optik dan menyediakan perkhidmatan kejuruteraan, Anwar berkata, Mirzan dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang merupakan anak ketiga bekas Perdana Menteri itu, adalah pengarah antara 1994 hingga 2009, manakala isteri Mukhriz, Toh Puan Norzieta Zakaria adalah pengarah serta pemegang saham majoriti.

Pada Jun 2004, Opcom menyerahkan hak, hak milik, faedah dan kepentingan dalam jumlah kontrak kepada Opcom Holdings Sdn Bhd, yang kemudiannya dikenali sebagai Opcom Holdings Bhd sebelum ditukar nama kepada Hextar Capital Bhd, seperti yang didedahkan dalam Bursa Malaysia pada 7 Disember, 2023.

Selain itu, Anwar turut menyatakan Telekom telah menganugerahkan Opcom Cables Sdn Bhd kontrak RM11.157 juta Rakan Unifi pada 14 Mei, 2018 – hanya empat hari selepas Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh dan sebelum pembentukan Kabinet baharu.

Opcom Cables, kata Anwar mempunyai tiga anak lelaki Dr Mahathir dan seorang menantu perempuan sebagai pengarah untuk tempoh masa yang panjang, dengan Mirzan adalah anggota terakhir yang melepaskan kedudukan pada 2021.

Maklumat mengenai Mirzan yang terdapat di laman web Betamek menyenaraikan beliau pernah menjadi jurutera system di IBM World Trade Corporation (1982-1985) dan rakan sekutu di Salomon Brothers Inc (1986-1990) – Gambar Riduan Ahmad/Scoop, 20 Januari, 2024

Berapa banyak syarikat dimiliki Mirzan?

Dengan lebih 30 tahun pengalaman, Mirzan Berjaya menempatkan dirinya dalam hampir 100 entiti korporat tempatan dan antarabangsa merangkumi pelbagai industri dengan memegang jawatan dalam beberapa syarikat awam dan berhad.

Salah satu syarikat tersenarai yang menampilkan Mirzan dalam kedudukan penting ialah pemaju dan pengilang produk elektronik, Betamek Bhd, di mana beliau dilantik sebagai pengarah urusan pada Januari 2022, sebulan selepas menyertai lembaga pengarahnya.

Menurut laporan tahunan 2023 yang diterbitkan oleh Bursa Malaysia pada Julai tahun lepas, Mirzan dianggap pemegang saham utama syarikat itu kerana beliau mempunyai saham kepentingan dalam Iskandar Holdings Sdn Bhd, yang mempunyai 72.03% saham dalam Betamek.

Laporan itu juga menyatakan bahawa dengan peranan sebagai pengarah urusan kumpulan, Mirzan membawa imbuhan RM768,000, dengan RM480,000 adalah gajinya. Mirzan merupakan satu-satunya pengurusan kanan yang menerima faedah sebanyak RM15,000.

Maklumat mengenai Mirzan yang terdapat di laman web Betamek menyenaraikan beliau pernah menjadi jurutera system di IBM World Trade Corporation (1982-1985) dan rakan sekutu di Salomon Brothers Inc (1986-1990).

Beliau juga terlibat dalam dengan syarikat pelaburan Dataprep Holdings Bhd (1991-2006) dan Sabit Sdn Bhd (1990-1992) sebagai pengerusi serta pengerusi eksekutif.

Laman dalam talian syarikat berkenaan juga menyatakan bahawa beliau menyertai syarikat minyak dan pemasaran Petron Corporation di Bursa Saham Filipina pada 2010 sebagai pengarah bukan eksekutif, terus memegang jawatan itu hingga hari ini.

Selain itu, nama Mirzan turut muncul dalam lembaga pengarah dan pemegang saham bagi barang kemas jenama antarabangsa, Auroria Italia International Bhd.

Bermula 2014, beliau juga menjadi pengerusi eksekutif SBI Offshore Ltd di Singapura sehingga melepaskan jawatan itu pada 2020. – 20 Januari, 2024

Topics

Hangat

China’s rising 17-year-old badminton star, Zhang Zhijie, dead after collapsing on court

He was participating in the ongoing Asian Junior Badminton Championships in Indonesia

Poor driver vetting will steer public away from inDrive, says assault victim’s lawyer

Victim has criticised the company’s lack of transparency and slow response, is prepared to take legal action

Cops investigating leaked graphic pictures of Zayn Rayyan on Telegram

Authorities promise legal action against anyone found sharing the classified content

Related