KUALA LUMPUR – Petugas media yang hadir untuk membuat liputan permohonan representasi Datuk Seri Najib Razak kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk semakan semula pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM27 juta telah dihalang daripada memasuki galeri Mahkamah Tinggi.
Sebelum ini, wartawan yang membuat liputan kes itu telah mengikuti prosiding melalui ‘live feed’ mahkamah yang disediakan di dalam bilik berasingan.
Seorang pegawai keselamatan kompleks mahkamah menegaskan larangan itu adalah atas alasan keselamatan, walaupun wartawan telah mengambil pas kebenaran daripada bahagian keselamatan untuk memasuki ke galeri awam mahkamah.
Walau bagaimanapun, hampir 20 orang dikatakan penyokong Najib termasuk bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah dibenarkan untuk mengikuti prosiding itu di galeri awam.
Keputusan berhubung permohonan representasi Najib kepada AGC untuk semakan semula pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM27 juta terhadap bekas Perdana Menteri itu, sepatutnya dibuat hari ini.
Surat representasi itu diserahkan kepada AGC lebih lima bulan lalu, iaitu pada Ogos tahun lalu.
Sepanjang tempoh menunggu keputusan mengenai perkara itu, Hakim Mahkamah Tinggi, K. Muniandy terpaksa menangguhkan perbicaraan beberapa kali.
Semasa prosiding terakhir pada 1 Disember lalu, Muniandy mengarahkan AGC memberi keputusan dalam perbicaraan hari ini.
Namun mahkamah menetapkan lima hari pada September ini untuk mendengar tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC berjumlah RM27 juta yang dihadapi Najib.
Muniandy menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan masih mempertimbangkan surat representasi yang dihantar bekas Perdana Menteri itu Ogos lepas.
Pada permulaan prosiding, Mohd Ashrof memaklumkan hakim bahawa pihak pendakwaan masih memerlukan masa untuk mempertimbangkan representasi justeru, beliau memohon tarikh lain untuk pengurusan kes.
Mahkamah kemudian menetapkan 17, 18, 19, 23 dan 24 September ini untuk mendengar kes itu.
Mahkamah juga menetapkan 12 Mac untuk pengurusan kes kepada kemas kini pihak pendakwaan mengenai representasi itu.
Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Beliau berdepan denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang kerana penyelewengan dana SRC menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. – 19 Januari, 2024