Isteri Daim bidas laporan kononnya keluarga miliki harta secara haram

Menurut dokumen itu, simpanan keluarga Daim dilaporkan bernilai ratusan juta

12:20 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Isteri Tun Daim Zainuddin membidas laporan sebuah portal berita yang didakwa memetik ‘dokumen bocor’ memperincikan simpanan luar pesisir bernilai ratusan juta dimiliki keluarga mereka.

Toh Puan Naimah Khalid berkata, laporan bernada sensasi itu bertujuan memberikan tanggapan salah laku atau pemilikan harta yang diperoleh secara haram keluarga mereka.

Malah, katanya, mereka tidak pernah merahsiakan fakta memiliki aset di luar negara, yang merupakan hasil daripada aktiviti perniagaan dan pelaburan sah sejak sebelum penglibatan Daim dalam arena politik pada 1984.

“Hakikatnya, pengarang laporan itu tidak pun mencadangkan wujudnya elemen jenayah, justeru menimbulkan persoalan mengapa laporan sedemikian diterbitkan.

“Dalam melaporkan sesuatu berita, mencemarkan nama baik seseorang dengan cara memuatkan tuduhan tersirat dan tanggapan tanpa disertakan bukti kukuh adalah salah dan tidak beretika.

“Malah, ia menjurus kepada pembunuhan watak (character assassination) dengan bertopengkan laporan berita,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – 19 Januari, 2024

Pada masa sama, Naimah turut mempersoalkan kewajaran portal berkenaan untuk membincangkan kewangan persendirian seseorang tanpa menyemak kesahihah dokumen tersebut.

“Tanpa sebarang salah laku, apakah wajar untuk membincangkan kewangan persendirian seseorang, sama ada butiran tersebut betul atau tidak, dengan cara cubaan menuduh konon wujudnya salah laku serius?

“Laporan ini akan hanya meniupkan prasangka, khabar angin dan andaian terhadap kami atau mana-mana orang dalam situasi sama, dan tidak syak lagi inilah tujuan ia diterbitkan,” katanya.

Semalam, Malaysiakini memetik dokumen diperolehi Konsortium Kewartawanan Penyiasatan (ICIJ) mendakwa kononnya ahli keluarga Daim adalah pemilik benefisial satu lagi aset amanah luar pesisir yang bernilai ratusan juta ringgit.

Menurut laporan itu lagi, aset itu ditubuhkan atas nama Naimah dan dua anak mereka, Muhammed Amir dan Muhammed Amin.

Pada 10 Januari lalu, ketiga-tiga mereka hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya bagi membantu siasatan rasuah terhadap bekas Menteri Kewangan itu.

Daim sebelum ini dilaporkan antara yang turut disiasat SPRM berkait transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 yang membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM), dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan dikaitkan dengan UMNO ketika parti itu mentadbir negara.

Siasatan itu kesinambungan daripada pendedahan dokumen sulit ICIJ berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

Susulan itu, SPRM pada Jun lalu membekukan akaun bank berjumlah lebih RM39 juta antara lain membabitkan milik bekas menteri kanan, dua ahli perniagaan bergelar ‘Tan Sri’ dan ahli keluarga mereka.

Pembekuan itu membabitkan 192 akaun bank, merangkumi 35 akaun syarikat dan 157 akaun individu.

Bulan lalu, SPRM turut menyita Bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai, di sini, yang dikatakan milik keluarga Daim. – 19 Januari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related