Saling sedar kepentingan berjiran, fahami hak, peraturan kunci keharmonian, ‘tiada orang melangkaui undang-undang’

Sebarang permasalahan atau kemelut dihidapi penduduk seharusnya dibawa ke pengetahuan wakil rakyat di kawasan berkenaan

12:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kesedaran mengenai kepentingan hidup berjiran di kawasan perumahan, termasuk di kediaman jenis pangsapuri harus sentiasa diterapkan dalam diri bagi mewujudkan suasana harmoni.

Pensyarah Sosio Budaya Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, malah sikap itu sepatutnya disekalikan dengan peringatan mengenai hak antara jiran dan peraturan sedia ada yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, setiap orang harus menyedari tidak ada pihak yang boleh melangkaui undang-undang, justeru semua pihak diminta jangan mementingkan diri sendiri sehingga menyebabkan kesukaran orang lain.

Pensyarah Sosio Budaya Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi. – Gambar Bernama, 19 Januari, 2024

“Pertama kebanyakan pihak yang melakukan tokok tambah di rumah ataupun di sekitar rumahnya tanpa kebenaran PBT, sebenarnya mereka sudah melakukan kesalahan di bawah akta PBT.

“Kedua, perkara ini boleh berlaku akibat mereka (penduduk) tidak memahami apa yang ada di dalam (undang-undang) PBT.

“Manakala ketiga, ada yang tahu ataupun sedar kewujudan akta seumpama itu, tapi apabila mereka melihat tidak ada tindakan tegas dilakukan pihak berkuasa, maka ia menjadi seperti cendawan tumbuh selepas hujan,” katanya kepada Scoop.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu terdapat penduduk di Flat Wangsa Maju Seksyen 2 di sini, bertindak memasang pagar jeriji di kawasan luar pintu rumah mereka.

Tindakan itu mencetuskan ketidakpuasan hati penduduk yang meluahkan kemarahan, termasuk menconteng dinding berhampiran dengan kata-kata kesat dan meminta penduduk terbabit mencabut struktur tambahan berkenaan.

Perkara itu kemudian tular di media sosial dan menarik perhatian netizen, dengan segelintir melabel penduduk terbabit mementingkan diri, selain menyindirnya memiliki keinginan menetap di kondominium walaupun menginap di flat.

Situasi terbabit kemudian mendapat perhatian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan aduan diterimanya yang mengarahkan supaya jeriji pagar itu dicabut, susulan ia menghalang laluan pejalan kaki.

DBKL menerusi kenyataan berkata, surat arahan itu dikeluarkan selepas pemeriksaan dilakukan pihaknya melalui Pesuruhjaya Bangunan Kuala Lumpur (COBKL).

Bagaimanapun, sehingga beberapa hari selepas notis dikeluarkan, penduduk terbabit masih enggan mencabut semula jeriji pagar berkenaan.

Justeru, Awang Azman berkata, PBT perlu bertindak lebih tegas dan berani sesuai dengan undang-undang sedia ada kerana mereka yang terbabit dengan perkara seumpama itu, adalah tidak bertanggungjawab.

Golongan seperti itu, katanya, boleh mengundang bahaya dan sebenarnya, melanggar undang-undang tambahan mengambil kawasan yang bukan hak mereka.

Ujarnya, PBT harus menjalankan kempen bagi memberi pencerahan dan penerangan secara menyeluruh mengenai hak serta peraturan di kawasan kejiranan.

“Bagi mengelakkan andai kata mereka tidak tahu, mereka biasa tinggal di kampung, kampung itu tanah mereka misalnya, tapi di tempat lain mereka kena sedar yang ini tak semestinya tanah mereka dan walaupun ia bukan tanah orang lain, tetapi itu tanah PBT,” katanya.

Awang Azman berkata, pihak keselamatan juga perlu memainkan peranan dalam menyelesaikan isu sikap negatif atau ‘mengambil hak orang’ dalam kalangan jiran.

Menurut DBKL, sehingga beberapa hari selepas notis dikeluarkan, penduduk terbabit masih enggan mencabut semula jeriji pagar berkenaan. – Gambar Abdul Razak Latif/Scoop, 19 Januari, 2024

“Sebab yang salah tetap salah, macam mana nak pertahankan kesalahan, tetapi tindakan perlu dilakukan dengan saluran betul.

“Bukannya diselesaikan dengan cara bergaduh, dengan berkelahi, bermasam muka dan sebagainya sebab ini tak bagus,” katanya.

Sementara itu, aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye menegaskan, sebarang permasalahan atau kemelut dihidapi penduduk seharusnya dibawa ke pengetahuan wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Malah, tegasnya, wakil rakyat juga harus turun datang untuk mengambil tahu dan meneliti masalah dirujuk penduduk, seterusnya menjadi orang tengah untuk menyelesaikannya.

Katanya, ia sememangnya menjadi tanggungjawab wakil rakyat untuk mencari pendekatan penyelesaian terbaik.

“Memanglah kalau nak cakap dari segi sikap komuniti (pasang pagar di laluan flat), memang ini adalah sesuatu yang boleh menimbulkan kesusahan atau kesulitan kepada pihak tertentu, jirannya. Saya rasa memang akan timbul keadaan tidak puas hati ataupun aduan, ada orang mengadu kepada PBT.

“Perkara inilah saya rasa lebih elok kalau wakil rakyat, ahli Parlimen dihubungi penduduk untuk membantu menyelesaikan masalah mereka, ini yang paling baiklah supaya dua-dua pihak ini puas hati. Kalau saya wakil rakyat memang saya pergi situ tengok macam mana.

“Pada lazimnya, penduduk juga boleh dirujuk kepada persatuan penduduk sebab persatuan ialah pertubuhan yang sepatutnya memainkan peranan, bagi menyelesaikan masalah penduduk,” katanya. – 19 Januari, 2024

Topics

Hangat

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Zhijie’s tragic death underscores crucial BAM-IJN partnership for athlete health

Incident a 'wake-up call' for importance of comprehensive health checks among athletes, medical assessments should be mandatory across all national sports associations, says BAM president

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Related