KUALA LUMPUR — Tiada sebab untuk kerajaan negeri menaikkan tarif air di Pulau Pinang memandangkan perkhidmatan air yang disediakan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) masih di tahap tidak memuaskan.
Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Teong Kong yang membantah kenaikan tersebut berkata apa yang penduduk mahukan ialah diskaun tatkala beberapa lokasi di negeri itu berdepan dengan gangguan air pada 10 Januari lalu.
“Penduduk mahukan diskaun tarif air bagi menanggung kerugian mereka ketika gangguan air berlaku, bukan naik tarif air,’’ katanya di sini hari ini.
Sebanyak 590,000 akaun pengguna di seluruh Pulau Pinang telah terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual bermula 6 pagi pada 10 Januari lepas.
Hari ini, Kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan kenaikan tarif air di negeri berkenaan dengan pengguna yang menggunakan sehingga 20 meter padu sebulan dikenakan 55 sen setiap meter padu, berbanding sebelum ini 22 sen.
Mengulas lanjut, Teong Kong berkata, PBAPP juga agak perlahan dalam melaksanakan kerja-kerja mereka termasuk kerja pembaikan paip bocor di Sungai Perai baru-baru ini.
“Malah pada Disember lalu, bekalan air terputus secara tiba-tiba di sesetengah kawasan tanpa notis, dengan alasan yang diberikan ialah bagi membaiki paip bocor.
“Pada awalnya penduduk dimaklumkan pembaikan mengambil masa 48 jam namun beberapa kawasan langsung tiada air selama tujuh hari,’’ katanya.
Justeru, katanya tidak alasan untuk menyokong kenaikan tarif air berkenaan ketika penduduk berdepan dengan bebanan lain. – 17 Januari, 2024