KUALA LUMPUR – Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) bagi mata pelajaran Sirah yang dijadualkan hari ini, ditangguhkan ke Selasa depan (23 Januari).
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, penangguhan kertas Sirah UPKK03/01 itu disebabkan isu teknikal yang tidak dapat dielakkan.
“Jakim memohon maaf atas kesulitan ini dan berdoa agar semua calon UPKK di seluruh negara dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada ujian yang sedang berlangsung.
“Semoga semuanya mendapat kejayaan yang cemerlang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
UPKK bermula semalam bagi mata pelajaran Ulum Syariah (Aqidah dan Ibadah) dan dijangka berakhir pada 23 Januari untuk mata pelajaran Lughah al-Quran.
UPKK diadakan untuk menilai tahap kemahiran, kebolehan dan penghayatan murid tahun 5 dalam bidang pengajian al-Quran, Ulum Syariah (Aqidah dan Ibadah), Sirah, Adab (Akhlak Islamiyah), Jawi dan Khat dan Asas Lughatul Quran. – 17 Januari, 2024