KUALA LUMPUR – Sebuah kilang beras di Kota Setar, Kedah didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Yan, Kedah kelmarin selepas didapati bersalah menjual 250 kilogram (kg) beras gred hancur kepada pihak tidak berlesen serta menyimpan bekalan tidak direkodkan.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan, pendakwaan itu dilakukan susulan serbuan Task Force Khas Bersepadu Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) ke atas kilang beras Seng Wor Sdn Bhd bernilai RM25,000 pada 7 Oktober tahun lalu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kilang berkenaan menjual sebanyak lima guni berisi beras gred hancur berjumlah 250 kilogram kepada pihak tidak memiliki lesen pada 24 September 2023.
“Pemeriksaan yang dijalankan juga mendapati terdapat perselisihan kuantiti beras hancur dalam milikan berbanding penyata rekod stok yang diberikan oleh pengilang.
“Dalam perkara ini, pasukan pegawai penguatkuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Kedah bertindak merampas 10,593.70 kilogram beras hancur berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kilang itu melakukan dua kesalahan iaitu Peraturan 9(1)(b) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996 [PU(A) 624], tidak boleh menjual beras kepada mana-mana orang kecuali kepada pemegang Lesen Borong yang bukannya pengilang beras, pemegang lesen runcit, mana-mana orang bagi maksud pengilangan atau katering dan mana-mana pembekal beras di bawah kontrak.
Bagi kesalahan kedua pula, katanya, terdapat perselisihan kuantiti beras dengan maklumat yang diberikan melalui Penyata Deklarasi Stok Beras Dalam Milik/Kawalan di bawah Seksyen 7(1)(a).
“Siasatan mendapati berlaku pelanggaran di bawah Seksyen 8(2) Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) Akta yang sama.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM7,000 bagi pertuduhan pertama dan RM5,000.00 bagi pertuduhan kedua ke atas kilang tersebut dan hasil rampasan bernilai RM25,000 dijadikan hasil kerajaan,” katanya.
Dalam kenyataan itu juga, KPKM mengingatkan pengilang padi, pemborong dan peruncit beras selaku pemegang lesen supaya mematuhi peruntukan perundangan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan Peraturan-Peraturan di bawahnya bagi menjamin bekalan beras dalam pasaran sentiasa mencukupi.
“Bekalan beras tempatan di pasaran sejak beberapa bulan lepas telah mengalami gangguan susulan peningkatan permintaan terhadap beras putih tempatan.
“Tindakan tidak bertanggungjawab oleh pihak pengilang telah memberi kesan kepada keberadaan bekalan beras di pasaran dan tindakan penguatkuasaan yang tegas akan diambil sekiranya pemegang lesen gagal mematuhinya,” katanya.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan mengenai aktiviti berkaitan padi dan beras yang menyalahi undang-undang dinasihatkan supaya melaporkan kepada pihak KPB melalui portal aduan KPB https://skpb.kpkm.gov.my/adu, emel rasmi; [email protected] atau hubungi hotline ibu pejabat KPB Putrajaya; 03-88701751/1748/1183. – 17 Januari, 2024