Pengarah Mentega Terbang mengaku tidak bersalah atas tuduhan ‘lukakan sentimen agama’

Timbalan pendakwa raya meminta supaya ikat jamin ditetapkan sebanyak RM2,000 dan memohon perintah teguran terhadap Khairi

10:17 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Khairi Anwar Jailani, pengarah filem kontroversi Mentega Terbang, mengaku tidak bersalah sengaja ‘melukakan sentimen agama seseorang’ di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 26 Februari tahun lalu.

Timbalan pendakwa raya meminta supaya ikat jamin ditetapkan sebanyak RM10,000 dan memohon perintah teguran terhadap Khairi.

Dia juga diarahkan untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Kemudian, mahkamah menetapkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta perintah gag.

Khairi perlu menghadirkan diri di ibu pejabat polis daerah Kajang setiap bulan sehingga kes mahkamah selesai.

Sementara itu, penerbit filem Tan Meng Kheng turut mengaku tidak bersalah di bilik mahkamah berasingan.

Majistret Aina Azahra Arifin menetapkan ikat jamin RM6,500 dan mengeluarkan perintah gag untuk Meng Kheng. Bagaimanapun, penerbit itu tidak perlu melaporkan diri kepada polis setiap bulan

Khairi dan Meng Kheng diwakili peguam N. Surendran dan Zaid Malek.

Khairi Anwar Jailani (dua dari kiri) dan Tan Meng Kheng (tiga dari kiri) mengaku tidak bersalah atas tuduhan sengaja ‘melukakan sentimen agama seseorang’ – Sairien Nafis/Scoop, 17 Januari, 2024

Dalam pada itu, menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan hak asasi manusia, kumpulan itu menggesa kerajaan supaya menggugurkan pertuduhan terhadap Khairi dan Meng Kheng.

“Kami menggesa kerajaan untuk menamatkan penjenayah kesalahan agama dan penggunaan peruntukan lain yang tidak jelas dalam undang-undang untuk menyekat kebebasan bersuara dan ekspresi artistik di Malaysia,” katanya.

Kumpulan itu juga menuntut pemansuhan atau pindaan kepada undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara iaitu Akta Hasutan 1948, Akta Penapisan Filem 2002, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan penayangan filem kontroversi, Mentega Terbang di negara ini.

Perkara itu diputuskan menerusi warta bertarikh 1 September tahun lalu yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 21 Ogos tahun yang sama.

Menurut warta berkenaan, larangan itu dibuat menerusi Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 turut mencakupi larangan pempameran, pengedaran, pemilikan, penyebaran atau penjualan filem.

Filem Mentega Terbang dilihat menyentuh perbezaan dan persamaan agama-agama utama di Malaysia selain mendapat kritikan orang ramai dan penggiat seni berikutan tayangannya di platform dalam talian.

Selain itu, tular beberapa sedutan babak tertentu dalam filem itu yang memaparkan watak utama bernama Aisyah tanpa berselindung meminta daging babi daripada rakan bukan Islamnya untuk dimakan, selain bapanya membenarkan Aisyah keluar dari Islam dan memeluk agama lain.

Sedutan babak tular itu kemudian mengundang marah warga maya yang mempersoalkan bagaimana filem itu dibenarkan untuk tontonan umum. – 17 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Gobind’s neutrality, party support rocketed him to DAP chairmanship: analysts

Observers said his non-allegiance to either pro- or anti-Lim Guan Eng factions may have helped him secure the chairmanship

Tampar lelaki bukan Islam makan ketika Ramadan adalah provokasi, tidak cermin perpaduan: Aaron

Menteri Perpaduan Negara berkata kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan

Duterte arrested: Former Philippine leader taken into custody over ICC warrant

Ex-president detained at Manila airport as global tribunal pursues justice for thousands killed in drug war

Related