KUALA LUMPUR – Tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan berkuatkuasa bermula 1 Februari depan, membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkata, pelarasan tarif air itu akan dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik.
Di bawah TSM, struktur dan komponen tarif akan diseragamkan untuk negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan, manakala tarif air akan dikaji semula setiap tiga tahun untuk memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.
Menurut kenyataan itu lagi, pelaksanaan pelarasan tarif air itu adalah berdasarkan keperluan dan permintaan kerajaan negeri, namun kerajaan Persekutuan melalui SPAN akan memantau secara dekat bagi memastikan penambahbaikan perkhidmatan air dilaksanakan selaras dengan kenaikan tarif berkenaan.
“Pelarasan tarif air bagi kategori domestik tidak lagi boleh ditangguhkan agar tidak menjejaskan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka masa panjang sekali gus memberi impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan air yang dinikmati rakyat.
“Justeru, pelarasan tarif air yang mencerminkan kos bekalan air sangat penting bagi membolehkan operator air meningkatkan tahap perkhidmatan dalam membekalkan air yang berkualiti secara berterusan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
SPAN berkata, bagaimanapun kenaikan itu masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar 2022.
Katanya, bagi meminimumkan impak kenaikan ke atas bil air bulanan rakyat, operator bekalan air di negeri masing-masing disaran untuk meneruskan inisiatif sedia ada iaitu memberikan bantuan kepada pengguna domestik secara bersasar seperti pemberian rebat kepada golongan B40.
“Melalui semakan tarif ini, operator air lebih bersedia untuk membuat pelaburan berterusan bagi membangunkan infrastruktur sistem bekalan air seperti membina atau menaik taraf loji rawatan air, dan membuat penggantian paip usang.
“Mereka juga akan melaksanakan penyenggaraan secara berkala dan menangani aduan dengan lebih cekap demi menjamin kelangsungan perkhidmatan bekalan air dan sekaligus memenuhi ekspektasi pengguna,” katanya.
Susulan itu, SPAN menyeru semua pengguna untuk bersama-sama mengamalkan penggunaan air secara berhemat.
“Antara langkah yang boleh diamalkan termasuk menggunakan produk cekap air di bawah Skim Pelabelan Produk Cekap Air oleh SPAN dan memeriksa serta membaiki sebarang kebocoran paip dan pili air di premis masing-masing.
“Selain itu, pengguna juga digalakkan untuk memasang sistem penuaian air hujan dan penggunaan air kitar semula sebagai sumber air alternatif untuk kegunaan bukan minuman,” katanya. – 17 Januari, 2024